PUTRAJAYA: Pasaran hartanah Malaysia mencatatkan sebanyak 139,754 transaksi bernilai RM62.01 bilion pada separuh pertama 2021, menunjukkan peningkatan jumlah sebanyak 21.0 peratus dan nilai 32.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Menurut Laporan Pasaran Hartanah Malaysia pada separuh pertama 2021 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Kementerian Kewangan hari ini, jumlah transaksi di seluruh subsektor menunjukkan pergerakan menaik.
Katanya, subsektor tanah kediaman, perniagaan, industri, pertanian dan tanah pembangunan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun, masing-masing sebanyak 22.2 peratus, 28.5 peratus, 29.4 peratus, 13.9 peratus dan 21.3 peratus.
Katanya, nilai transaksi bergerak seiring dengan subsektor tanah kediaman, komersial, industri, pertanian dan tanah pembangunan, masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 34.7 peratus, 28.4 peratus, 19.8 peratus, 33.1 peratus dan 40.6 peratus.
Mengenai hartanah kediaman, katanya terdapat 92,017 transaksi bernilai RM34.51 bilion yang dicatatkan dalam tempoh kajian, meningkat sebanyak 22.2 peratus dalam bilangan dan 34.7 peratus bagi nilai tahun ke tahun.
Menurut laporan itu, prestasi di seluruh negeri bertambah baik dalam tempoh kajian.
Dalam pasaran primer, katanya terdapat 16,660 unit dilancarkan, menurun sebanyak 34.0 peratus berbanding 25,227 unit pada separuh pertama 2020 manakala berbanding separuh kedua 2020, pelancaran baharu lebih rendah sebanyak 24.1 peratus dengan 21,951 unit dilancarkan.
Katanya prestasi jualan pelancaran baharu dicatatkan sebanyak 24.7 peratus, lebih baik berbanding 12.9 peratus pada separuh pertama 2020.
"Peningkatan prestasi jualan itu berkemungkinan disebabkan pelbagai langkah oleh kerajaan seperti insentif Kempen Pemilikan Rumah (diperkenalkan semula dari 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021) dan kadar OPR (Kadar Dasar Semalaman) yang rendah," katanya.
Menurut laporan itu, kediaman siap dibina tidak terjual menunjukkan pertumbuhan yang sederhana dengan sebanyak 31,112 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM20.09 bilion dicatatkan, menunjukkan peningkatan 5.2 peratus dan 6.2 peratus, masing-masing dalam jumlah dan nilai berbanding separuh tahun sebelumnya.
Katanya, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) menyaksikan pertumbuhan negatif pada suku kedua 2021, selepas beberapa siri pertumbuhan harga yang perlahan sejak 2018. IHRM berada pada 197.9 mata, turun 1.2 peratus tahun ke tahun manakala pergerakan suku tahunan menyaksikan penurunan sebanyak 1.6 peratus, katanya.
Mengenai hartanah komersial, katanya terdapat 10,433 transaksi bernilai RM10.93 bilion yang dicatatkan, meningkat sebanyak 28.5 peratus dalam bilangan dan 28.4 peratus dalam nilai berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Katanya, semua negeri mencatatkan lebih banyak aktiviti pasaran dalam tempoh kajian kecuali Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Pahang manakala Selangor menyumbang bilangan dan nilai tertinggi kepada syer pasaran nasional, dengan 26.3 peratus (2,741 transaksi) dan 30.8 peratus (RM3.37 bilion) daripada jumlah bilangan dan nilai.
Prestasi kompleks perniagaan adalah sederhana pada separuh pertama 2021, dengan kadar penghunian keseluruhan menyaksikan sedikit penurunan pada 76.6 peratus berbanding separuh pertama 2020 sebanyak 78.6 peratus.
Katanya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing mencatatkan kadar penghunian sebanyak 81.6 peratus dan 78.8 peratus manakala Johor dan Pulau Pinang, masing-masing memperoleh penghunian purata sebanyak 73.4 peratus dan 72.2 peratus.
Katanya, hanya satu bangunan siap dibina dicatatkan pada separuh pertama 2021 iaitu tambahan ruang Setia City Mall, Shah Alam dengan 21,363 meter persegi, menjadikan jumlah ruang kompleks perniagaan di seluruh negara menjadi 16.93 juta meter persegi.
Terdapat 47 kompleks perniagaan berjumlah 1.94 juta meter persegi dalam penawaran akan datang dan 10 kompleks dengan 0.34 juta meter persegi dalam penawaran yang dirancang.
"Disokong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan, pasaran hartanah dijangka berada pada aliran pemulihan seiring dengan pemulihan ekonomi secara berperingkat," menurut laporan itu.