LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Harga Jualan Rumah Lebih Rendah Awal 2021

Trend keseluruhan harga jualan rumah dalam suku pertama 2021 mencatatkan penurunan 1.79 peratus berbanding suku sama tahun lalu dan 0.84 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan suku terakhir 2020.

Laporan terbaharu Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMI) yang diterbitkan laman web hartanah nombor satu Malaysia, PropertyGuru, menunjukkan penurunan mungkin berkait rapat dengan kebimbangan pembeli yang kini mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

Ia disebabkan oleh lonjakan semula jangkitan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang mempengaruhi aktiviti komersial.

"Dengan situasi ekonomi pandemik yang tidak menentu ini, kami percaya bahawa sentimen waspada menguasai pasaran dan pasaran hartanah dijangka berdepan trend harga turun naik dalam beberapa bulan mendatang.

"Namun, peningkatan kadar vaksinasi di seluruh masyarakat Malaysia diharapkan dapat menambahkan kestabilan dan meningkatkan sentimen pengguna selari dengan perkembangan semasa," kata Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.

Beliau menambah, rancangan kerajaan untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga ke akhir 2021 disambut baik pasaran, kerana ia akan terus memainkan peranan penting untuk mendorong minat pembeli apabila situasi ekonomi mula bertambah baik di sepanjang tahun.

"HOC terbukti sebagai rangsangan ekonomi yang berkesan dan ia sememangnya membantu untuk mengurangkan beban pembeli hartanah pada masa sukar ini.

"Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh HOC hingga ke hujung tahun ini, kami menggesa pencari rumah untuk memanfaatkan insentif yang ada, harga semasa yang rendah dan kadar faedah kondusif," katanya.

Laporan terkini PropertyGuru mendapati keseluruhan harga jualan rumah masing-masing merosot sebanyak 0.66 peratus, 0.29 peratus dan 1.36 peratus di Kuala Lumpur, Johor, dan Pulau Pinang jika dibandingkan dengan suku sebelumnya.

Perbandingan tahunan menunjukkan harga jualan rumah di Kuala Lumpur susut sehingga lima peratus, penurunan tertinggi yang dicatatkan sejak PropertyGuru melancarkan indeks pasaran pada 2016.

Penurunan trend lebih dua tahun ini dipercepatkan pandemik serta boleh dilihat sebagai trend pengubahan harga yang bermula seiring dengan tempoh ekonomi yang mencabar dan penawaran harga melampau hartanah.

Posted on: 19th May 2021

Source: Berita Harian