KUANTAN, 27 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Sistem e-Lelong Bagi Kes-kes Lelong Awam Harta Tak Alih di Mahkamah Tinggi (e-Lelong) membolehkan pembida membuat bidaan tanpa tekanan dan dapat mengelak manipulasi harga.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif berkata e-Lelong akan merahsiakan identiti pembida, yang dilihat berkeupayaan menggalakkan penambahan jumlah pembida yang akan menyertai sesi lelong awam secara dalam talian.
Sistem itu pertama di Malaysia bagi mengendalikan lelongan awam secara dalam talian mengikut waktu sebenar itu juga mampu meningkatkan peluang orang awam memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga, katanya.
"Identiti pembida juga dirahsiakan untuk membolehkan pembida membuat bidaan tanpa tekanan dan gangguan serta meningkatkan ketelusan dan integriti proses lelongan awam selain memastikan tidak berlaku ketirisan maklumat," katanya.
Md Raus berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Perintis e-Lelong di Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini. Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop.
Menurut Md Raus, pembida yang berdaftar dengan e-Lelong juga boleh membuat bidaan di mana sahaja, asalkan mereka mempunyai akses internet termasuk menggunakan telefon pintar, yang akan menjimatkan wang dan masa pembida.
"Saya sedar ada pihak yang gusar dengan keupayaan dan keselamatan sistem e-Lelong untuk mengendalikan lelongan awam secara dalam talian dan memastikan proses berjalan lancar tanpa gangguan dan bebas daripada aktiviti jenayah siber.
Saya tegaskan bahawa e-Lelong dibangunkan dengan mengambil kira isu keselamatan teknologi maklumat berdasarkan garis panduan daripada pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)," katanya.
Md Raus juga optimis bahawa pembaharuan yang diketengahkan badan kehakiman itu akan memberi impak positif kepada mahkamah, orang awam selaku pembida, institusi kewangan selaku plaintif dan pemilik hartanah yang dilelong sebagai defendan.
Mengulas mengenai e-Lelong, Md Raus berkata cadangan untuk mewujudkan sistem itu dibentangkan pada 17 Mac lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang kemudiannya bersetuju ia dilaksanakan secara berperingkat.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});