
Terma 'strata' diperkenalkan pada pertama kalinya secara rasmi pada tahun 1985, kesan daripada struktur berbilang tingkat yang berkembang bersama pembandaran bandar-bandar besar.
Selepas pelaksanaan Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA 2013), isu strata mula dibincangkan. Ini kerana akta berkenaan memberikan peruntukan yang lebih jelas serta lebih ketat mengenai pengurusan hartanah dengan hak milik strata di negara ini termasuk kediaman, perdagangan dan pembangunan bercampur.
Secara ringkasnya, hak milik strata adalah jenis hak milik tanah yang dikeluarkan untuk hartanah berstrata. Bermakna, anda dan pemilik apartmen atau kondominium memiliki unit atau petak tertentu serta bertanggungjawab ke atas harta bersama yang dikenali sebagai kawasan sepunya. Ia termasuk kolam renang, gimnasium, lif, tempat istirahat dan mana-mana kawasan yang bukan kepunyaan pemegang unit strata individu.
Bagaimanapun, ramai pemilik yang kurang memahami kepentingan hak milik strata. Ia sebenarnya boleh dijadikan cagaran untuk permohonan pembiayaan dari pihak bank.
Pada masa sama, hak milik strata juga berfungsi sebagai bukti kawasan binaan unit anda dan pembahagian bahagian anda dalam jumlah unit agregat. Ia sekali gus membolehkan pengiraan yuran penyelenggaraan dilakukan jawatankuasa pengurusan.
Selain itu, mempunyai hak milik strata juga membantu mencegah komplikasi jika pemaju berada dalam pembubaran atau tidak solven.
Posted on: 5th February 2025
Source: Harian Metro