LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Tanah individu atau strata



Membeli hartanah jenis bertanah (landed) untuk dijadikan rumah sendiri atau tujuan pelaburan adalah satu tindakan bijak.

Namun, ada dua jenis status pemilikan hartanah bertanah yang perlu diketahui sebelum memutuskan untuk membeli kediaman bertanah.

Ini bagi memastikan keputusan dibuat itu tepat mengikut perancangan kewangan dan kriteria pelaburan.

Pakar hartanah Erman Taib berkata, jenis pertama ialah hartanah bertanah status hak milik individu yang bermaksud rumah itu dimiliki seorang individu.

"Pembeli rumah jenis ini bermakna mereka membeli pemilikan tanah itu sama ada dalam bentuk pegangan bebas atau pajakan.

"Pegangan tanah bebas ini tiada had masa pemilikan dan sebagai rumah atas sendiri, maka bebas untuk buat sebarang perubahan dan pengubahsuaian pada rumah", katanya.

Menurutnya, jenis status pemilikan hartanah bertanah yang kedua ialah rumah strata iaitu hak milik berasingan bagi setiap unit petak pemilikan dalam sebuah bangunan bertingkat atau di atas tanah.

"Hartanah ini dibina atas sebidang tanah dan fasiliti selain ada ruang yang dikongsi bersama.

"Rumah bertanah strata ini hanya dikhususkan untuk pembangunan perumahan rumah banglo, semi D dan teres," katanya.

Beliau berkata, jenis hartanah bertanah strata kini semakin menjadi pilihan pemaju dalam pembinaan perumahan kerana beberapa faktor.

"Faktor pertama ialah untuk menjaga kualiti dan imej pemaju dengan pakej yang ditawarkan.

"Banyak pemaju hartanah menawarkan rumah bertanah strata lengkap dengan fasiliti seperti sistem keselamatan 24 jam, kolam renang, gimnasium, trek joging, taman permainan, berpagar, kamera litar tertutup (CCTV) dan landskap.

"Penyediaan fasiliti serba mewah ini secara tidak langsung menjadikan jenama syarikat pemaju lebih terkenal, kukuh dan sudah tentu menunjukkan mutu penghasilan yang tinggi.

"Strategi pemasaran berkesan seperti ini dapat menarik lebih ramai pembeli baharu," katanya.

Katanya, faktor kedua adalah mahu mengekalkan gaya hidup untuk golongan pendapatan sederhana (M40) dan pendapatan tinggi (T20) yang lebih menggemari perumahan yang ada elemen privasi tersendiri.

Faktor ketiga ialah pemaju mempunyai hak dalam pegangan penyelenggaraan fasiliti.

"Apabila projek perumahan rumah bertanah strata baharu siap dibina, badan pengurusan bersama (JMB) ditubuhkan untuk mengendalikan pengurusan penyelenggaraan fasiliti.

"Selagi lebih 50 peratus pemilik tidak mendapat hak milik strata individu, maka pemaju menguruskan penyelenggaraan berkenaan," katanya.

Erman berkata, antara lokasi tumpuan perumahan bertanah strata ini seperti di Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam dan Semenyih, Selangor.

"Walaupun lokasinya jauh sedikit dari bandar, tetapi kawasan perumahan ini strategik dan kelihatan elit.

"Antara kelebihan membeli rumah bertanah strata ialah fasiliti terjaga dalam jangka panjang kerana semua penduduk wajib membayar yuran penyelenggaraan yang membolehkan kemudahan ini diselenggara dengan baik," katanya.

Tambahnya, kelebihan lain adalah pemilik berdisiplin membayar yuran penyelenggaraan. Ini kerana bimbang nama disenaraikan sebagai pemilik yang ada banyak tunggakan penyelenggaraan, dibawa ke tribunal atau harta alih mereka boleh dilelong bagi menuntut bayaran penyelenggaraan tertunggak.

"Perkara ini tertakluk mengikut Akta Undang-Undang Strata yang digubal untuk melindungi hak dan tanggungjawab bagi semua pemilik dalam menjaga fasiliti serta kawasan hartanah bersama.

"Lazimnya rumah bertanah strata dijual pada harga agak mahal iaitu antara RM800,000 hingga RM1.5 juta.

"Selain itu, sebarang perubahan yang hendak dilakukan terhadap perumahan ini perlu melalui mesyuarat JMB terlebih dahulu" katanya.

Posted on: 4th December 2024

Source: Harian Metro