LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Tengok Teliti Sebelum Beli



TULAR baru- baru ini perkongsian seorang pemilik rumah mengenai rumah baru dibelinya didapati berstruktur 'canggung.'

Individu terbabit maklumkan rekaan dan kedudukan tangga menghalang laluan masuk menjejaskan keselesaan ketika berada di ruang terbabit.

Sebaik diusulkan kepada pihak penjual dan pemaju, ruang itu sudah sedia ada dalam rekaan bentuk ruang rumah contoh dan pembeli sedia maklum keadaan itu.

Mengulas isu kegagalan dalam reka bentuk dilakukan pemaju ia sebenarnya bukan isu baru sebaliknya sudah dialami pembeli hartanah sehingga menjadi beban kerana kediaman terbabit tidak boleh diduduki.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Dr Azizul Azli Ahmad, masalah kecacatan atau kegagalan dalam reka bentuk rumah (design failure) adalah isu besar kerana ia hanya disedari pembeli selepas menerima kunci atau menduduki hartanah dibeli.

"Isu kegagalan reka bentuk rumah sepenuhnya tanggungjawab pemaju kerana orang biasa terutama yang bukan dari bidang pembinaan tidak faham atau tahu membaca pelan.

"Kecacatan rekaan itu bukan hanya tidak sesuai dengan fungsi malah ada implikasi terhadap estetika rumah dan keselamatan penghuni," katanya.

Pemilik atau pembeli hartanah wajar meneliti rekaan rumah dibeli sama ada mempunyai kecacatan atau kegagalan dari segi reka bentuk.

Malah Dr Azizul Azli berkata, pemilik atau pembeli boleh menuntut jika ada kecacatan pada reka bentuk rumah dibeli.

"Dalam pembinaan rumah memang ada peruntukan undang-undang berkaitan bangunan iaitu Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) terpakai untuk semua pihak berkaitan.

"Sepatutnya arkitek atau pemaju perlu mengenal pasti rekaan mereka termasuklah pihak berkuasa tempatan yang meluluskan dan lembaga berkaitan.

"Lebih menjejaskan jika kegagalan reka bentuk menjejaskan keselamatan penghuni dalam bangunan terbabit," katanya.

Dr Azizul Azli turut menyenaraikan lapan kriteria kegagalan reka bentuk kerap dialami pembeli hartanah.

"Struktur bumbung dan atap antara kegagalan reka bentuk yang serius. Bagi negara dengan iklim cuaca tropika, struktur dan ukuran bumbung yang betul sangat penting.

"Saya pernah menulis satu artikel trend rumah tidak berbumbung dan pemaju teruja dengan idea reka bentuk struktur bumbung itu kerana dapat menjimatkan kos pembinaan.

"Tetapi rekaan sedemikian tidak sesuai kerana bukan hanya bumbung mudah bocor, ia juga menyebabkan kerosakan pada struktur penting rumah," katanya.

Selain itu, rekaan saluran dan pempaipan juga antara kerap berlaku sehingga menyebabkan kes terbabit berulang walaupun sudah dibaiki.

"Rutin biasa pemaju lakukan ketika sesi pemeriksaan rumah ialah air dialirkan ke saluran air untuk memastikan saluran air tidak mengalami masalah.

"Aspek lain ialah penebat bunyi yang mana memastikan bunyi bising dari luar tidak mengganggu penghuni dalam rumah.

"Begitu juga akses keluar masuk kawasan bangunan baik perumahan atau bangunan komersial perlulah mudah dicapai oleh penghuni," katanya.

Katanya, mengabaikan ciri-ciri itu disifatkan antara kecacatan rekaan bangunan yang serius kerana boleh menjejaskan keselesaan penghuni apatah lagi dengan ruang yang sempit.

"Selain laluan akses keluar masuk yang mudah ditemui, laluan utama itu perlu luas dan terang.

"Ciri -ciri kegagalan reka bentuk juga boleh dilihat pada pembinaan struktur tangga. Selain ukuran antara pemijak dan penaik perlulah menggunakan material tidak licin.

"Susun atur ruang juga penting kerana itu juga boleh memberi nilai tambah baik kepada penggunaan ruang secara optimum sesuai dengan fungsinya.

"Pencahayaan dan pengudaraan juga antara elemen perlu disemak terutama jika pembeli rumah mahu melantik pemeriksa kerosakan rumah bertauliah," katanya.

Pensyarah kanan itu berkata, pembeli juga mempunyai hak dan perlu memainkan peranan penting menuntut hak mereka.

"Mungkin ramai pesimis terhadap peluang mereka untuk menuntut ganti rugi atau pampasan daripada pemaju.

"Ia tidak mustahil berdasarkan satu kajian kes berkaitan dengan satu projek di Seri Iskandar membabit satu pemaju ternama.

"Pemilik menyedari berlaku mendapan serius sehingga rumah dibeli tidak layak diduduki.

"Dia (pemilik) melantik pemeriksa berdaftar dan mendapati kerja asas lantai seperti cerucuk tidak dilakukan dengan baik.

"Pemilik menang kes dan pemaju terpaksa runtuh dan bina semula mengikut spesifikasi yang selayaknya," katanya.

Penting untuk pembeli hartanah lebih cakna hak mereka termasuk menuntut pampasan kepada pemaju atau menghantar aduan kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

Posted on: 27th November 2024

Source: Harian Metro