LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Belanjawan 2025: Isu mampu milik hartanah bakal jadi tumpuan - CIMB Securities



KUALA LUMPUR: Isu berkaitan mampu milik kekal menjadi tema utama dalam sektor hartanah menjelang Belanjawan 2025 walaupun beberapa cadangan yang dikemukakan bukan suatu perkara baharu, kata CIMB Securities Sdn Bhd hari ini.

Dalam nota penyelidikan, syarikat broker itu mengenal pasti dua cadangan berimpak tinggi yang jika dilaksanakan, dapat menghidupkan semula sektor tersebut iaitu kempen pemilikan rumah (HOC) dan Skim Deposit MADANI.

Kata syarikat itu, sekembalinya HOC yang sangat popular dan digabungkan dengan insentif yang tepat, ia dapat mendorong pengurangan berterusan dalam jumlah hartanah tidak terjual.

"Dengan mengurangkan halangan kewangan di peringkat awal, yang terkini (Skim Deposit MADANI) akan meningkatkan kemampuan menyediakan deposit untuk pembeli rumah kali pertama, terutamanya dalam kalangan segmen B40 dan M40.

"Begitu juga, South China Morning Post melaporkan skim visa Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dirombak telah menarik minat baharu daripada golongan muda kaya di China, walaupun masih belum dapat dilihat sama ada hal ini akan dapat diterjemahkan ke dalam aplikasi sebenar di bawah program ini," kata CIMB Securities.

Nota penyelidikan itu juga menekankan aspirasi terkini berhubung pemegang kepentingan dalam sektor hartanah menjelang Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober 2024.

Mewakili para pemaju, CIMB Securities berkata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap Belanjawan 2025 akan memberikan lebih banyak insentif kepada pemaju untuk terus membina rumah mampu milik.

"Melalui satu tinjauan yang menarik maklum balas 162 daripada lebih 1,500 ahlinya, Rehda mencadangkan pengurangan caj pembangunan, premium penukaran tanah yang lebih rendah dan pengecualian daripada caj sumbangan utiliti," kata syarikat broker itu.

Menurut CIMB Securities, bagi tujuan berkenaan, satu kajian terperinci perlu dilakukan untuk menentukan bekalan dan permintaan rumah mampu milik bagi mengenal pasti harga serta lokasi yang sesuai.

Katanya, REHDA juga mengharapkan insentif pengurangan cukai bagi pemaju untuk menggalakkan bangunan hijau.

"Pemaju memerlukan insentif cukai yang lebih baik untuk mengimbangi peningkatan kos dalam menerima pakai agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus," katanya.

CIMB Securities bagaimanapun mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor hartanah. – Bernama

Posted on: 16th October 2024

Source: Berita Harian