Dari sudut positif, peningkatan pembelian warga China membantu merancakkan pasaran hartanah tempatan terutama dalam segmen hartanah mewah di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Peningkatan permintaan ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, memacu pembangunan infrastruktur dan projek berskala besar, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan serta hartanah.
Di samping itu, pengaliran modal asing melalui pelaburan harta tanah warga China membantu memperkukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China yang memberi manfaat kepada sektor lain seperti pelancongan serta perdagangan.
Pengarah (Harta Tanah) Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Najib Razali berkata, namun begitu, ada kesan negatif ketara akibat kebanjiran pembeli warga asing ini.
Menurutnya, antara kebimbangan utama ialah peningkatan harga rumah, terutamanya dalam segmen mewah yang menyukarkan rakyat tempatan terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah.
"Ini juga menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam pasaran harta tanah. Pembangunan hartanah premium mungkin menyebabkan lebihan bekalan di segmen itu dan terdapat kekurangan perumahan mampu milik untuk rakyat tempatan.
"Selain itu, pembelian rumah secara besar-besaran oleh warga asing boleh menimbulkan kebimbangan mengenai kedaulatan tanah dan pengaruh asing ke atas hartanah tempatan. Seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat tempatan.
"Tambahan pula, pelaburan warga rakyat China boleh mendorong spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana pembelian dilakukan semata-mata untuk tujuan pelaburan tanpa niat untuk menetap. Ini meningkatkan ketidakstabilan pasaran dan risiko gelembung hartanah," katanya.
Beliau berkata, lambakan pembeli rumah dari China memberi kesan yang ketara kepada sektor hartanah di Malaysia dan juga rakyat tempatan.
Jelasnya, dari sudut sektor hartanah, peningkatan pembeli asing ini menyebabkan peningkatan permintaan terhadap hartanah mewah terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
"Permintaan tinggi ini menyebabkan kenaikan harga hartanah terutama segmen kediaman. Ini menjadikan rumah semakin sukar untuk dimiliki rakyat Malaysia.
"Walaupun pelaburan asing ini merangsang pembangunan hartanah dan infrastruktur yang lebih pesat, terutama dalam segmen harta tanah komersial serta kediaman mewah, ia menimbulkan cabaran seperti ketidakseimbangan penawaran rumah mampu milik.
"Kesan kepada rakyat Malaysia juga jelas. Menerusi kenaikan harga hartanah, golongan berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi kesukaran yang lebih besar untuk memiliki rumah terutama di kawasan bandar," katanya.
Dr Muhammad Najib berkata, di samping itu, jika hartanah dibeli oleh pembeli asing tidak didiami, tetapi hanya digunakan untuk pelaburan, ia boleh menyebabkan banyak hartanah kosong. Ini menjejaskan pembangunan komuniti dan membawa ketidakstabilan kepada pasaran hartanah.
Tambahnya, kadar sewa mungkin meningkat akibat permintaan yang tinggi untuk unit disewakan. Ini seterusnya menambah beban kos sara hidup kepada rakyat tempatan.
"Secara keseluruhannya, walaupun kehadiran pelabur asing seperti dari China memberi sumbangan positif kepada pembangunan sektor hartanah namun ia menimbulkan cabaran serius kepada rakyat tempatan dalam aspek pemilikan rumah serta kos sara hidup.
"Perlu diingat hartanah kediaman antara sektor yang agak sensitif bagi rakyat Malaysia kerana ia membabitkan kedaulatan negara.
"Seperti yang kita lihat di United Kingdom, lambakan pendatang dari Pakistan dan India menyebabkan ketidakselesaan penduduk tempatan sehingga mengakibatkan rusuhan dari penduduk setempat.
"Begitu juga di Australia dan Kanada yang mana kadar pendatang tinggi dari negara Asia menyebabkan suasana tidak harmoni," katanya.
Beliau berkata, justeru dalam mengejar keuntungan, tahap sosio-ekonomi setempat perlu diambil kira. Pada masa kini yang mana isu rumah mampu milik masih berada dalam keadaan serius, maka sewajarnya keseimbangan pemegangan warga asing dalam sektor hartanah kediaman di negara, perlu mempunyai polisi khas di peringkat persekutuan dan negeri.
Jelasnya, warga China berminat membeli harta tanah di Malaysia disebabkan beberapa faktor utama yang menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
Katanya lagi, faktor pertama ialah harga hartanah di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara seperti Singapura, Hong Kong atau Australia.
Ini menjadikan Malaysia pilihan lebih berpatutan bagi warga China yang ingin melabur dalam harta tanah atau membeli rumah kedua.
"Selain itu, program Malaysia My Second Home (MM2H) yang ditawarkan kerajaan Malaysia memberi peluang kepada warga asing termasuk warga China untuk tinggal di Malaysia dengan tempoh visa panjang.
"Program ini menarik minat warga China untuk membeli hartanah sebagai tempat tinggal kedua atau untuk persaraan," katanya.
Dr Muhammad Najib berkata, Malaysia terletak di lokasi strategik di Asia Tenggara dan mempunyai hubungan perdagangan baik dengan China yang memudahkan akses melalui penerbangan lebih kerap.
"Malaysia juga menawarkan kestabilan politik dan ekonomi yang memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur tanpa kebimbangan terhadap risiko ketidaktentuan.
"Keindahan alam semula jadi Malaysia dan gaya hidup lebih santai juga menarik minat warga China untuk memilih negara ini sebagai destinasi untuk kediaman kedua atau tempat percutian.
"Selain itu, Malaysia menyediakan peluang pendidikan dan kesihatan yang baik dengan kos lebih rendah, menjadikannya pilihan ideal bagi warga China mencari persekitaran berkualiti untuk keluarga mereka," katanya.
Menurutnya, pembangunan pesat di kawasan Johor Bahru dan Iskandar Malaysia yang berdekatan dengan Singapura turut menarik perhatian warga China.
"Kawasan ini dilihat sebagai peluang pelaburan hartanah yang menguntungkan terutama dalam sektor komersial dan kediaman.
"Semua faktor ini termasuk kestabilan, dasar mesra pelabur dan kedudukan strategik Malaysia menjadikan negara ini destinasi utama bagi warga China yang berminat melabur serta membeli hartanah," katanya.
Untuk rekod, tiada data rasmi dikeluarkan pihak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Namun sehingga tahun ini, warga China kumpulan terbesar mengambil bahagian dalam program Malaysia My Second Home (MM2H) iaitu 24,765 daripada 56,066 peserta.