LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

PropertyGuru, iProperty harap Belanjawan 2025 fokus kepada inisiatif rumah mampu milik



KUALA LUMPUR: PropertyGuru dan iProperty berharap agar Belanjawan 2025 akan terus menumpukan perhatian kepada inisiatif perumahan, khususnya untuk golongan berpendapatan rendah hingga sederhana yang sering kurang mendapat perkhidmatan.

Pengurus Negara bagi Malaysia untuk kedua-dua platform itu, Kenneth Soh, berkata bantuan yang disesuaikan seperti geran pemilikan rumah bersasar dan projek perumahan kos rendah mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 dan berpendapatan sederhana rendah.

Ini juga, katanya, dapat membantu menggalakkan ekuiti sosial dalam pemilikan rumah.

"Selain itu, rumah sewa yang berpatutan juga perlu diberi perhatian untuk golongan yang belum bersedia atau tidak mampu membeli rumah. Langkah seperti memperluaskan skim sewa untuk memiliki atau memperkenalkan subsidi sewa kepada golongan berpendapatan rendah boleh menyediakan pilihan perumahan yang lebih selamat serta membantu individu dan keluarga beralih kepada pemilikan rumah pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh turut menekankan bahawa kemampuan untuk memiliki rumah terus menjadi kebimbangan utama bagi rakyat Malaysia, khususnya pembeli rumah kali pertama. Beliau memuji komitmen kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik melalui inisiatif seperti Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dilihat penting dalam meningkatkan bekalan rumah mampu milik di pasaran.

Berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2024 oleh PropertyGuru Malaysia, PR1MA menjadi pilihan utama bagi 23 peratus responden, terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dalam lingkungan usia 30-an.

Sementara itu, Rumah Selangorku menjadi pilihan 15 peratus responden, kebanyakannya yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, manakala 14 peratus lagi memilih PPR, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Penemuan ini menunjukkan betapa pentingnya inisiatif perumahan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pelbagai kumpulan demografi. Kami menggesa kerajaan agar terus bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menawarkan pakej pinjaman yang fleksibel, kadar faedah yang menarik serta menyemak semula dasar berkaitan bagi menyesuaikannya dengan permintaan perumahan yang semakin berkembang," tambahnya.

Selain itu, Soh turut berharap agar Belanjawan 2025 dapat merangkumi dasar yang menggalakkan amalan bangunan hijau, yang bukan sahaja menguntungkan alam sekitar tetapi juga pemilik rumah.

Beliau mencadangkan insentif cukai atau rebat kepada pemaju yang mengamalkan reka bentuk dan penggunaan bahan cekap tenaga untuk mempercepatkan kelestarian dalam sektor hartanah.

"Bagi pemilik rumah pula, insentif seperti geran untuk pemasangan panel solar atau peralatan cekap tenaga, termasuk peranti penjimatan air, boleh membantu mengurangkan kos isi rumah dan pada masa yang sama menggalakkan gaya hidup mampan serta mesra alam," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program pensijilan rumah hijau sebagai insentif tambahan kepada pemaju dan pembeli untuk memberi keutamaan kepada alam sekitar dan reka bentuk mesra alam dalam pembangunan hartanah.– BERNAMA

Posted on: 25th September 2024

Source: Berita Harian