LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Bukan pilihan tapi berbaloi



SELAMA hampir 14 tahun pasangan suami isteri ini menyewa kediaman.

Dalam tempoh itu, bohong untuk katakan mereka tidak mempunyai impian untuk memiliki kediaman sendiri.

Apatah lagi pasangan itu masing-masing Syamsyuhaida Sabri, 37, dan Mohd Hamdi Adha Mukthar, 39, sudah mempunyai empat cahaya mata yang kian membesar.

Namun, rezeki tidak salah alamat apabila pada tahun lalu, mereka menemui kediaman yang diinginkan.

Walaupun pada mulanya Syamsyuhaida tidaklah begitu 'berkenan' untuk membeli kediaman jenis sekunder ('subsale').

Pada Syamsyuahaida sebagai pembeli rumah pertama sememangnya mengidamkan sebuah kediaman baharu kerana kelihatan lebih moden dan menarik.

Namun katanya, dua tahun sebelum membeli kediaman sekunder berkenaan dia dan suami ada meninjau beberapa produk hartanah di sekitar kediaman yang disewa pasangan itu

Tapi mereka sentiasa pulang dengan perasaan tidak serasi kerana melihat harga dan keluasan yang ditawarkan seakan tidak munasabah.

"Ketika itu, suami ada menyuarakan hasrat membeli rumah jenis sekunder tetapi saya sedikit pun tidak mempunyai minat kerana merasakan rumah baharu lebih berbaloi.

"Sebenarnya, sudah beberapa kali kami melihat rumah baharu yang dijual, semuanya tidak menepati cita rasa. Sehinggalah kami menemui sebuah iklan yang memaklumkan sebuah kediaman bersaiz kira-kira 4,000 kaki persegi ingin dijual berdekatan dengan rumah sewa kami," katanya.

Katanya, suaminya bertanya mengenai kediaman itu terutama harga yang ditawarkan. Seperti langkah kanan, harga jualan lebih murah daripada harga pasaran semasa.

"Harga pasaran kediaman dua tingkat itu pada harga semasa adalah RM450,000. Namun, selepas beberapa tahun diiklankan, tiada pembeli maka pemilik menawarkan pada harga RM360,000 termasuk semua barangan yang ada di dalam kediaman itu.

"Pada saya ia adalah satu nilai yang amat berbaloi kerana lokasi kediaman ini terletak di tengah-tengah Bandar Kangar di Perlis dan begitu luas yang mempunyai lima bilik dan lima bilik air," katanya.

Tambahnya, apabila suaminya menerangkan mengenai rekaan kediaman itu boleh diubah mengikut cita rasa peribadi, baharulah dia bersetuju untuk membeli kediaman jenis sekunder berkenaan yang mungkin sudah wujud pada era 1970-an lagi.

"Bagi membeli rumah sekunder ini sememangnya memerlukan aliran tunai yang baik. Apatah lagi, perlu menyediakan 10 peratus wang bayaran deposit awal dari harga jualan kepada pemilik. Selain itu kos membaik pulih juga perlu ditanggung," katanya.

Melihat kepada harga dan keluasan serta lokasi yang strategik itu membuatkan pasangan itu merasa amat berbaloi untuk memiliki aset berkenaan dan begitu sukar mendapatkan harga sedemikian di lokasi yang sama.

"Proses untuk membeli kediaman ini juga amat mudah. Kami hanya mengambil masa sekitar tiga bulan sahaja dan segala-galanya diuruskan oleh ejen hartanah.

"Pada Disember 2023, kami sudah pun mendapat kunci dan kini proses pengubahsuaian dan membaik pulih masih berlangsung secara berperingkat mengikut kemampuan kami," katanya.

Katanya, secara peribadi membeli kediaman sememangnya memerlukan aliran wang yang baik dan memilih hartanah yang sesuai adalah perkara paling penting supaya tidak merasa ralat selepas memilikinya.

"Terutama bagi membeli rumah sekunder ini yang sememangnya memerlukan persediaan tunai yang baik dan kami melakukan kerja-kerja pengubahsuaian secara berperingkat mengikut kemampuan poket sendiri.

"Pada saya bagi membeli rumah lama jenis sekunder ini mempunyai keunikan sendiri kerana bahan binaannya amat berkualiti dan mempunyai elemen nostalgia yang sukar untuk didapati pada hari ini," katanya.

Posted on: 31st July 2024

Source: Harian Metro