LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Pilih pemaju ada kredibiliti



Lelaki berusia 42 tahun ini mengakui jenama syarikat perumahan baik semestinya mempunyai profil pemaju yang baik

Malah, jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini selepas proses pembelian hartanah dibuat, mudah untuk berurusan dengan syarikat pemaju berkenaan dan bertanggungjawab di atas kediaman yang dijual.

Ruzfareez Roslan berkata, dia baharu sahaja mendapat kunci kediaman baharunya pada 24 April lalu dan kini masih dalam proses mendekorasi kediaman berkenaan yang terletak di ibu negara.

Katanya, sebelum dia memuktamadkan pembelian kediaman bersaiz 1,033 kaki persegi jenis apartmen servis itu, dia dan isteri sudah meninjau beberapa projek kediaman di sekitar ibu negara untuk membelinya.

"Sebenarnya sebelum ini kami tinggal di rumah pertama yang dibeli di Ampang di Kuala Lumpur tetapi melihat kepada kemudahan rumah berkenaan yang tidak mempunyai kemudahan lif membuatkan saya dan isteri bersetuju untuk menjualnya dan membeli kediaman baharu di ibu negara.

"Kediaman pertama kami dibeli pada 2008 pada RM125,000 sahaja ketika itu dan dapat dijual semula pada harga RM300,000 memandangkan kawasannya sudah matang dan terdapat pelbagai kemudahan lain," katanya.

Katanya, hasil daripada penjualan rumah itu dia dan isteri mencari kediaman baharu yang lebih selesa di ibu negara kerana mementingkan faktor berhampiran dengan tempat bekerja dan mempunyai kemudahan yang sudah matang.

"Kami sudah meninjau beberapa kediaman di sekitar ibu negara dan akhirnya tertarik kepada kediaman ini kerana pemaju yang terkenal dan memikirkan apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini mudah untuk diselesaikan.

"Selain itu, bagi saya apabila pemaju mempunyai rekod yang baik, mereka akan memastikan kediaman yang bakal dijual juga dalam keadaan baik kerana tidak mahu reputasi mereka buruk," katanya.

Katanya, dia dan isteri membeli kediaman berkenaan pada RM735,000 dan kediaman itu berada pada kedudukan yang amat strategik di ibu negara.

"Memang ada yang bertanya mengapa tidak membeli kediaman jenis teres sahaja pada harga berkenaan tetapi bagi saya dan isteri, untuk membeli kediaman jenis teres di ibu negara harganya lebih tinggi.

"Kami sudah biasa tinggal di kawasan bandar kerana ia mudah untuk ke tempat kerja dan pada masa yang sama sebenarnya kediaman ini adalah satu pelaburan yang baik kerana ia mempunyai status pegangan kekal," katanya. 

Katanya, untuk pergi ke tempat kerja dia dan isteri hanya mengambil masa kurang 20 minit sahaja dan ia menjadi satu faktor utama dia membeli kediaman berkenaan.

"Apabila membeli kediaman yang dekat dengan tempat kerja kita dapat menjimatkan kos perjalanan dan pada masa yang sama tidaklah merasa tertekan untuk ke tempat kerja kerana di kawasan ibu negara sudah pastinya keadaan sesak terutama pada waktu puncak.

"Selain itu, rumah ibu bapa kami juga di ibu negara lebih memudahkan apabila ingin melawat mereka dan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk kediaman mereka," katanya.

Jelasnya, selain itu, kediaman baharu itu juga terletak kurang satu kilometer dari stesen transit aliran ringan (LRT) dan memudah untuk menggunakan perkhidmatan awam itu jika mahu ke destinasi lain.

"Bagi saya dan isteri apabila kediaman yang dibeli itu dekat dengan akses kemudahan awam, ada potensi besar pada masa depan kediaman ini mampu mempunyai harga pasaran yang lebih baik.

"Selain itu, kediaman yang berhampiran dengan kemudahan awam juga mempunyai permintaan yang tinggi apabila ingin disewakan sekiranya kami bercadang untuk memiliki kediaman lain pada masa depan," katanya.

Katanya, untuk membeli kediaman dia turut menitik beratkan pelbagai faktor terutama aliran tunai selepas pembelian kediaman kerana ia membabitkan komitmen jangka masa panjang.

"Bagi saya, membeli kediaman pertama pada harga yang murah dan berada di lokasi strategik adalah sesuatu keputusan yang baik dan kini saya dapat menjualnya pada harga pasaran jauh lebih tinggi kemudian dapat membeli kediaman yang lebih strategik di tengah bandar.

"Hasil jualan rumah itu saya jadikannya sebagai bayaran pendahuluan yang lebih tinggi dan komitmen kepada pihak bank juga dapat dikurangkan. Jadi, apabila kita ingin membeli rumah pertama pastikan ia mempunyai harga yang berpatutan dan mampu memberi pulangan yang baik pada masa depan," katanya.

Posted on: 26th June 2024

Source: Harian Metro