LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

PKNS tawar skim pembiayaan, dekorasi rumah bersama Maybank



SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama dengan Maybank Bhd bagi menawarkan skim pembiayaan perumahan serta ubah suai dalaman rumah kepada semua pemilik rumah PKNS melalui kemudahan MyDeco Maybank.

Kerjasama strategik yang julung kali dimeterai itu akan membantu dan memudahkan pemilik rumah memiliki dekorasi dalaman rumah impian masing-masing menerusi kemudahan pembiayaan yang ditawarkan institusi kewangan terkemuka itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, berkata kerjasama itu akan membolehkan pemilik rumah merancang kewangan bagi disesuaikan dengan cabaran ekonomi semasa dan dalam masa yang sama dapat merelisasikan impian memiliki dekorasi rumah sebagaimana diimpikan.

"PKNS memahami dan menyedari yang ramai pemilik kediaman baharu menghadapi cabaran dalam pengubahsuaian rumah mereka atas faktor kekurangan bajet, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

"Oleh itu, menerusi kerjasama dengan Maybank, PKNS menawarkan pakej pembiayaan MyDeco Maybank bagi membantu mengurangkan kekangan kewangan pembeli dan merealisasikan hasrat memiliki rumah impian masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PKNS dan Maybank di sini, hari ini.

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani oleh Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank, Taufik Albar.

Sementara itu, Taufik berkata kerjasama berkenaan adalah selaras dengan objektif syarikat perbankan itu dalam memperkasakan dan memudahkan pemilikan rumah bagi pelanggan mereka selain menginsankan perkhidmatan kewangan dengan memudahkan perjalanan pemilikan rumah atau 'Home Ownership Journey'.

Beliau berkata, pembiayaan MyDeco Maybank menawarkan pemilik rumah pilihan untuk menambah margin kewangan sebanyak 30 peratus atau sehingga jumlah gabungan 120 peratus daripada nilai hartanah.

"Pembiayaan inovatif seperti MyDeco Maybank ditawarkan untuk membantu pemilik rumah dalam merealisasikan rumah idaman mereka dengan bantuan aliran tunai tambahan melalui kemudahan berkenaan," katanya.

Menurut Taufik, skim pembiayaan itu antara lain meliputi kos ubah suai, reka bentuk dalaman, perabot, kelengkapan, estetika dan hiasan yang mesti digunakan sepenuhnya serta dikeluarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengeluaran pertama.

Posted on: 5th June 2024

Source: Berita Harian