Apa tidaknya, selama tiga tahun Nur Afifah Rosli, 31, dan suaminya, Mohammad Firdaus Yusof , 31, membayar sewa bulanan rumah. Pada masa sama perlu membayar ansuran pembiayaan rumah mereka yang masih dalam pembinaan.
Keadaan menjadi semakin meruncing, berikutan ansuran pembiayaan untuk kediaman yang dibeli di Bangi Selangor pada tahun 2020 kian meningkat apabila pembinaan hampir siap sepenuhnya.
Nur Afifah berkata, situasi itu menjadi cabaran utama kepada mereka untuk menyediakan bajet yang mencukupi pada setiap bulan.
Katanya, perasaan menjadi bercampur baur antara gembira selepas permohonan pembiayaan diluluskan dan pada masa sama, risau jika tidak dapat menyediakan perbelanjaan bulanan yang mencukupi.
"Oleh kerana membeli rumah yang masih dalam pembinaan, kami perlu membayar ansuran pembiayaan bank setiap bulan. Kami juga agak tertekan apabila rumah semakin siap, ansuran bulanan pembiayaan juga semakin meningkat. Pada masa sama kami juga perlu membayar rumah sewa.
"Sepanjang tempoh itu, kami begitu menitik beratkan perbelanjaan dan berjimat. Selepas hampir tiga tahun menanti, pada November tahun lalu, kami dimaklumkan bahawa kunci rumah sudah sedia diambil dan Alhamdulillah kami berpindah masuk ke rumah kami pada awal tahun ini," katanya.
Menurutnya, mereka membuat keputusan untuk membeli rumah kerana tidak mahu kerap berpindah randah jika kekal menyewa.
"Saya risau jika terus menyewa, risiko tuan rumah ingin menjual rumah atau mengambil semula rumah mereka agak tinggi.
"Selain itu, saya sebagai suri rumah minat untuk menghias rumah dan jika terus tinggal di rumah sewa, saya merasakan agak sukar untuk mengubah suai serta dekorasi rumah. Jika memiliki rumah sendiri, kami bebas untuk mengubah suainya mengikut cita rasa," katanya.
Jelasnya, dia dan suami mendapat maklumat mengenai kediaman itu daripada iklan di media sosial.
"Sejujurnya pada ketika itu kami tidak merancang untuk membeli rumah. Tetapi disebabkan tawaran pemaju yang sangat menarik membuatkan kami berminat untuk membelinya.
"Menariknya, rumah dilengkapi dengan kabinet dapur, kabinet televisyen, almari pakaian di setiap bilik, pemanas air, penyaman udara, peti ais dan televisyen 32 inci," katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, salah satu kriteria kediaman itu dipilih selepas mengambil kira harga bersesuaian dengan jumlah pendapatan keluarga.
"Selain itu, saya mencari rumah yang selesa, selamat didiami dan tidak jauh dari kemudahan asas termasuk pasar raya, kedai dan sekolah.
"Rumah ini juga dilengkapi dengan rumah kelab, dewan serba guna, kolam renang, gimnasium, taman permainan kanak-kanak di setiap blok, lorong joging, pondok pengawal keselamatan dan parkir bertingkat.
"Malah, pihak pengurusan menggunakan aplikasi JagaApp yang sangat memudahkan kami untuk mendaftar kemasukan pelawat, memberi maklum balas yang turut dilengkapi dengan maklumat lain mengenai kediaman di sini," katanya.
Baginya, pembelian kediaman ini amat berbaloi kerana lokasinya terletak jauh daripada hiruk pikuk bandar.
"Selain itu, kawasan kediaman juga sedang membangun dan saya yakin tidak lama lagi, lebih banyak kemudahan akan disediakan untuk penduduk di sini. Kawasan kediaman saya juga berdekatan dengan lebuh raya," katanya.
Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat untuk memiliki rumah kedua sebagai pelaburan dan merancang menetap di kampung.
"Nasihat saya kepada bakal pembeli rumah, pastikan kewangan keluarga kukuh. Kaji latar belakang pemaju supaya tiada masalah di kemudian hari.
"Buat tabungan sebagai persiapan untuk masuk ke rumah baru. Paling penting juga, pastikan anda lengkapkan diri dengan ilmu hartanah sebelum membuat keputusan untuk memiliki rumah," katanya.