Dengan platform yang disepadukan itu, bakal pembeli rumah akan dapat membuat semakan kelayakan dan memohon pembiayaan rumah serta-merta dengan Maybank Home2u dan setelah layak, mereka akan menerima kelulusan kira-kira dalam masa 10 saat sebelum surat tawaran dikeluarkan dalam masa sejam selepas membuat tempahan rumah di OBS.
Malah, pembeli rumah juga akan diberikan wakil gadai janji Maybank yang berdedikasi untuk membantu mereka dan sebagai alternatif, mereka juga akan mempunyai pilihan membuat semakan status permohonan pembiayaan rumah mereka di laman web Maybank2u.
Sime Darby Property ialah pemaju hartanah pertama yang bekerjasama dengan Maybank untuk melancarkan penyelesaian lancar dan mudah itu kepada bakal pembeli rumah untuk menempah rumah idaman melalui OBS Sime Darby Property dan memohon pembiayaan rumah Maybank Home2u.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata kerjasama strategik itu sejajar dengan misi 'Menginsankan Maybank' untuk menyediakan penyelesaian yang berteraskan pelanggan dan mampan, sambil memastikan perjalanan pelanggan yang lancar untuk pembeli rumah.
Beliau berkata, ia juga melengkapkan penyelesaian pembiayaan pemilikan rumah holistik semasa Maybank, dan memudahkan rakyat Malaysia merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah.
"Kami sangat teruja bekerjasama dengan Sime Darby Property ini. Dengan kerjasama ini, kami dapat menawarkan kelulusan segera dan kadar pembiayaan yang kompetitif dengan Maybank Home2u di platform OBS Sime Darby Property.
"Maybank juga menawarkan rangkaian perkhidmatan penuh termasuk terma pembayaran balik yang fleksibel untuk memenuhi bajet, penyelesaian untuk pengubahsuaian rumah dengan Home+Reno dan MyDeco, untuk meningkatkan keselesaan rumah dan yang disesuaikan dengan gaya," katanya dalam satu kenyataan.
Didorong oleh minat berterusan pengguna untuk membeli hartanah, Sime Darby Property juga bersedia untuk memenuhi impian pemilikan hartanah pembeli dengan kempen tawaran hebat terbaharu.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei, berkata kempen itu adalah peluang terbaik untuk pembeli yang mencari pembangunan berkualiti walaupun dalam persekitaran ekonomi yang sukar.
"Keupayaan untuk menawarkan pengalaman jualan dalam talian penuh hujung ke hujung meletakkan kami di hadapan dalam industri, dengan pelanggan menikmati transaksi yang lancar dalam perjalanan pembelian rumah," katanya.
Bakal pembeli rumah boleh menantikan kadar pembiayaan keutamaan yang kompetitif melalui Maybank Home2u dengan MOT, duti setem dan yuran guaman ditanggung oleh Sime Darby Property melalui kempen tawaran hebat.
Pembeli rumah juga akan berpeluang memenangi hadiah menarik semasa kempen promosi yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2023.