KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS) menyenaraikan lima saranan bagi Belanjawan 2024 untuk memacu sektor hartanah dan berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkannya bagi merancakkan sektor hartanah dan berdaya saing sejajar dengan objektif pertumbuhan ekonomi Malaysia.
LBS dalam satu kenyataan berkata, saranan pertama adalah penyenaraian semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di tengah-tengah inflasi semasa membabitkan peningkatan harga barangan keperluan dan peningkatan harga rumah.
"Bagi mengurangkan tekanan kewangan kepada rakyat, terutamanya mereka yang berhasrat untuk memiliki kediaman pertama, kami mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula beberapa langkah tambahan.
"Secara khususnya, kami menyarankan pengenalan semula HOC. Keberkesanan HOC telah terbukti sewaktu pelaksanaannya pada tahun 2019 hingga 2021.
"Oleh itu, dengan pengenalan semula kempen ini dijangka akan merangsang permintaan daripada bakal pembeli, menggalakkan pemilikan rumah dan membantu memberikan lebih banyak pilihan mengikut kemampuan bakal pembeli," katanya.
LBS turut menyarankan insentif atau subsidi khas bagi pemaju yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) ke dalam projek pembangunan mereka, kerana ia dapat membantu mengurangkan kos pembinaan dan menjadikan perumahan lebih mampu milik.
Ia berkata, insentif jangka pendek ini akan membuka jalan kepada penggunaan sistem konkrit pratuang secara lebih meluas di dalam sektor hartanah.
"Matlamat utamanya adalah untuk mencapai kecekapan pembinaan yang lebih tinggi, pengurangan kos dan kemampanan, sekali gus mengekal atau meningkatkan kualiti pembinaan secara keseluruhan," katanya.
Pemaju hartanah terkemuka itu juga menyarankan supaya insentif kehijauan bagi pemaju diperkukuhkan lagi.
Katanya, dengan peningkatan kesedaran global terhadap pembangunan yang mampan dan hijau, kos untuk mereka bentuk, membangunkan pembangunan mampan dan neutral karbon boleh menjadi kos tambahan kepada pemaju tempatan, malahan lebih tinggi berbanding pembangunan konvensional.
"Kerajaan seharusnya mengambil langkah untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan hijau dan mempertimbang untuk menyediakan geran khas kepada pemaju bagi menggalakkan pemain industri untuk mengintegrasikan kehijauan di dalam setiap projek pembangunan mereka, contohnya penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar," katanya.
LBS berkata, saranan keempat adalah kos pematuhan yang lebih rendah, terutamanya dengan komitmen syarikat itu sebagai pemaju perumahan rakyat yang mengutamakan harga mampu milik dalam kesemua projek.
Namun begitu, katanya perbelanjaan yang berkait dengan pematuhan seperti caj pembangunan, premium penukaran tanah, atau yuran penukaran hak milik strata saban hari semakin meningkat.
"Oleh yang demikian, pihak pemaju dan kontraktor terpaksa membayar kos ini dengan menaikkan harga hartanah.
"Berdasarkan iklim ekonomi semasa, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan had atau mengurangkan kos pematuhan berkaitan pembangunan hartanah," katanya.
Saranan terakhir adalah menggalakkan perkembangan bandar urban melalui pembangunan infrastruktur, memandangkan perbandaran yang mampan adalah satu matlamat utama bagi rata-rata kerajaan di peringkat global.
Ia berkata, pembangunan infrastruktur yang mampan adalah perkara penting bagi objektif ini, kerana ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk untuk jangka masa panjang.
"Oleh itu, kami menyarankan agar kerajaan memberikan galakan insentif kepada pemaju agar mereka dapat menggabungkan teknologi moden ke dalam pembinaan projek seperti sistem cekap tenaga, grid pintar, solusi pengurusan sisa pepejal serta kecerdasan pengurusan trafik yang sistematik," katanya.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San, berkata syarikat berharap Belanjawan 2024 akan membawa perubahan ketara dan mempengaruhi sentimen secara positif dalam pasaran hartanah melalui pengenalan pakej rangsangan.
Kerajaan Perpaduan, katanya diharap dapat mewujudkan persekitaran yang berupaya menarik lebih ramai pelabur, memupuk pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan kesejahteraan negara.
"Kami berharap agar kerajaan dapat memberikan komitmen dalam memastikan rakyat mempunyai pilihan perumahan yang mencukupi, berkualiti tinggi dan mampu milik agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah," katanya.