KUALA LUMPUR: Pemaju utama tetap yakin terhadap gambaran jangka panjang di Iskandar Malaysia meskipun pasaran hartanah di kawasan itu mengalami tempoh mencabar pada 2015 hingga 2021.
RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, dua pemaju hartanah utama iaitu Sunway Bhd dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) baru-baru ini mengembangkan kehadiran masing-masing di wilayah pembangunan itu.
"Sunway mengambil alih pegangan 40 peratus tanahnya seluas 1,071 ekar di Pendas, manakala EcoWorld pula membeli tanah seluas 404 ekar di Kulai untuk tujuan pembangunan perindustrian.
"Dengan pendedahan simpanan tanah dan jualan hartanah yang berkembang, Iskandar Malaysia telah menjadi pasaran penting buat banyak pemaju," katanya dalam nota yang ditulis oleh penganalisis, Loong Kok Wen dan Adam Mohamed Rahim.
RHB Investment Bank berkata, ia yakin bahawa pembangunan rancak yang diterajui oleh kerajaan, dan juga kemasukan pelaburan langsung asing dan tempatan bukan sahaja akan merangsang peluang pekerjaan bagi sektor pembinaan, namun turut akan memberi kesan limpahan positif kepada pasaran hartanah.
"Pengumuman mengenai zon kewangan khas Johor-Singapura dan maklumat terkini berkenaan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah peristiwa utama yang akan datang," katanya.
Bank pelaburan itu menambah, kemajuan kerja bagi projek Landasan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura juga telah mendorong keyakinan pembeli hartanah, memandangkan adanya kebolehlihatan prospek pertumbuhan.
Ia berkata, landasan RTS ini adalah faktor pengubah, kerana trafik rentas sempadan yang kian sibuk dan 'faktor dolar Singapura' yang kukuh patut memberikan kelebihan kepada sektor hartanah tempatan, termasuk perumahan, runcit, dan hospitaliti.
"Permintaan sewaan dan rumah di wilayah tengah Johor mungkin akan berkembang dengan lebih ketara pada tahun-tahun seterusnya, dengan kemasukan pelaburan baharu dijangka akan menaikkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negeri ini akan datang, lantas diterjemahkan kepada perumahan yang lebih mampu milik dalam jangka panjang," katanya.
Sementara itu, RHB Investment Bank berkata, nilai kerja pembinaan yang dijalankan di Johor mencecah RM3.8 bilion pada suku kedua 2023, tertinggi dalam 13 suku tahun, dan kedua terbesar dalam kalangan negeri di Malaysia.
Pada masa yang sama, katanya Johor mendapat tawaran projek pembinaan bernilai RM9.6 bilion setakat akhir Ogos 2023 membabitkan 913 projek.
"Dari segi nilai projek yang diterima sejak awal tahun hingga Ogos, Johor berada di belakang Selangor (projek pembinaan berjumlah RM16 bilion, meliputi 1,432 projek)," katanya.
Mengulas lanjut, ia berkata melihat keadaan pasaran pekerjaan yang baik dan trend harga bahan binaan menjadi semakin terkawal, kontraktor berada dalam keadaan baik untuk mengaut kelebihan daripada revolusi prasarana di Johor.
"Dengan wujudnya peluang untuk digarap kontraktor di Johor yang membabitkan pakej-pakej yang ada daripada projek RTS, Transit Laju Iskandar (IRT), dan pusat-pusat data di taman perindustrian.
"Kesan limpahan daripada pertumbuhan di Iskandar Malaysia akan mendatangkan kelebihan kepada kontraktor hartanah perumahan," katanya.
RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'wajaran tinggi' terhadap saham syarikat-syarikat yang terbabit dalam sektor hartanah dan pembinaan.
"Kami menyukai UEM Sunrise dan Sunway dalam ruang hartanah. Bagi sektor pembinaan pula, kami menggemari Sunway Construction, Kerjaya Prospek, dan Malaysian Resources Corp (MRCB)," katanya.