LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Kenaikan harga rumah Pulau Pinang kedua tertinggi di Asia Tenggara



KUALA LUMPUR: Harga kediaman di Pulau Pinang meningkat 5.78 peratus pada separuh pertama 2023, sekali gus menjadikannya bandar kedua berprestasi terbaik di Asia Tenggara, menurut laporan terkini Knight Frank Asia-Pasifik.

Indeks Kajian Kediaman Asia Pasifik (APAC) Separuh Pertama 2023 yang dikeluarkan Knight Frank itu memperlihatkan harga kediaman di Kuala Lumpur juga meningkat sebanyak 0.34 peratus dalam tempoh itu.

Pengarah Eksekutif Kanan Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Judy Ong, berkata walaupun berlaku pertumbuhan perlahan dalam ekonomi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dicatatkan sebanyak 2.9 peratus pada suku kedua 2023, pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini ditambah dengan keadaan pasaran pekerjaan yang bertambah baik akan terus menyokong pasaran perumahan.

"Kemajuan dalam rangkaian jalan raya dan rel akan menyokong permintaan untuk produk kediaman berkonsepkan terbaik di bandar-bandar utama dan menuju ke depan, harga dijangka kekal stabil," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Knight Frank, 14 daripada 25 bandar yang dipantau mencatatkan pertumbuhan harga tahunan yang positif pada separuh pertama 2023, dengan Singapura menjadi pasaran berprestasi tinggi dengan pertumbuhan lapan peratus.

Ketua Kediaman Knight Frank Asia-Pasifik, Victoria Garrett, berkata selepas kenaikan harga rumah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, harga stabil enam bulan hingga 2023, menunjukkan bahawa pembetulan sedang berlaku di lebih banyak pasaran.

Beliau berkata, dengan kenaikan kadar faedah telah berhenti, pembeli menggunakan peluang itu untuk memiliki rumah impian mereka, yang kebanyakannya dilihat berlaku di Australia, New Zealand dan India.

"Keadaan inflasi yang tinggi semakin meningkat, kombinasi bekalan perumahan yang terhad, pembinaan baharu yang terhad dan pembentukan isi rumah yang teguh akan menyokong harga dalam pelbagai pasaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Knight Frank Asia-Pasifik, Christine Li, berkata tinjauan rantau Asia Pasifik kekal seimbang, menyesuaikan diri dengan cabaran global sambil mempamerkan daya tahan dalam pasaran utama.

Beliau berkata, momentum jualan yang stabil, pertumbuhan tahun ke tahun yang positif dalam pasaran terpilih dan keyakinan pembeli dalam keupayaan memiliki rumah memberikan prospek cerah bagi rantau itu.

"Menuju ke hadapan, kadar penurunan harga di rantau Australasia boleh mula memulihkan keyakinan dalam pasaran Australia dan New Zealand, manakala peningkatan dalam paras pendapatan, ditambah dengan aspirasi kukuh untuk pemilikan hartanah, akan mengekalkan permintaan dalam pasaran baharu muncul seperti India dan Malaysia," katanya.

Knight Frank Malaysia menawarkan khidmat nasihat dan penyelesaian profesional merangkumi pelbagai portfolio perkhidmatan hartanah yang komprehensif.

Syarikat itu mempunyai kehadiran yang kukuh di Malaysia dengan ibu pejabat di Kuala Lumpur selain cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Miri.

Posted on: 5th September 2023

Source: Berita Harian