LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Jaminan biaya rumah hingga 120 peratus atasi masalah sukar peroleh pinjaman



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan pengumuman kerajaan semalam mengenai jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000 mampu mengatasi masalah pembeli untuk mendapatkan pembiayaan akhir.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati atau gembira dengan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri semalam bahawa rumah berharga di bawah RM300,000 khususnya di Lembah Klang, dibolehkan pinjaman sehingga 120 peratus dan projek Perumahan Idaman adalah sebahagian di dalam kelompok berkenaan.

"Jadi saya rasa kita akan dapat selesaikan masalah pembiayaan akhir. Ini akan banyak membantu kita besar untuk menyelesaikan masalah ini kepada rakyat yang ingin memiliki rumah kerana berdasarkan data kita, hampir 60 peratus mereka yang kita tawarkan rumah menolak kerana berdepan dengan masalah pinjaman.

"Jadi diharapkan pengumuman Perdana Menteri ini akan membantu kita dalam pembangunan perumahan, pengurangan projek terbengkalai dan juga memastikan semua unit tidak terjual kerana tidak mendapat pinjaman dapat kita tangani.

"Dengan keadaan ekonomi yang semakin baik dan ringgit jauh lebih baik daripada bulan lalu, saya percaya kita di landasan tepat untuk mencapai pemulihan dan bersedia untuk gerakkan proses pemulihan dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pecah tanah Idaman Cahaya di sini, hari ini. Yang turut hadir Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim pinjaman menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mendengar keluh-kesah rakyat berkaitan hasrat memiliki rumah pertama yang tertangguh kerana tidak mampu menyediakan deposit pembelian rumah.

"Kerajaan menambah baik skim pinjaman di bawah SJKP dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

"Jaminan 120 peratus akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung menerusi pinjaman, termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai.

"Sehubungan itu, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat semalam.

Posted on: 2nd August 2023

Source: Berita Harian