LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Rancang teliti sebelum beli



SEJAK berada universiti lagi wanita ini sudah mempunyai impian memiliki kediaman sendiri. Ketika berusia 20 tahun dia sudah bekerja dan setiap bulan membuat simpanan RM200 untuk tabung membeli rumah.

Malah, dia juga mempunyai strategi sendiri memenuhi impiannya dengan menghabiskan dahulu pembiayaan kenderaan, baharu mengambil langkah seterusnya untuk memiliki aset yang diidamkan.

Pemilik nama Zuhaili Mukhtar, 33, juga memastikan aliran kewangannya sentiasa dalam keadaan baik bagi memudahkannya mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank untuk membeli rumah pertamanya.

Ternyata percaturan itu menjadi apabila dalam tempoh beberapa bulan selepas membuat tinjauan dan memilih produk hartanah yang dihajati, dia melalui segala proses pembelian dengan mudah.

"Saya meletakkan sasaran pada usia 30 sudah memiliki rumah sendiri dan bayaran kenderaan juga sudah habis dibuat. Namun, pada usia itu keadaan kewangan saya dari segi pendapatan saya melihat tidak lagi kukuh.

"Jadi pada usia 31 tahun baharu saya mengambil langkah untuk membeli kediaman. Bagi saya impian itu penting dan perlu seiring dengan strategi untuk memilikinya. Cepat atau lambat adalah perkara kedua. Paling penting melihat kewangan kita dahulu," katanya.

Zuhaili yang membeli kediaman jenis teres setingkat di Bukit Changgang Banting, Selangor pada harga kira-kira RM358,000 dan sudah pun mendapat surat untuk mengambil kunci rumah pertama yang dibelinya itu. Dia menjangkakan untuk menduduki kediaman itu menjelang akhir tahun ini.

Rumah pertama Zuhaili bersaiz 1,300 kaki persegi mempunyai ciri -ciri tiga bilik tidur dan dua bilik air. Menariknya, kediaman yang dibelinya adalah lot sudut yang mempunyai tanah dan pintu gelungsur di tepi rumah.

Katanya, dia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk membuat tinjauan beberapa produk hartanah yang diinginkan terutama menerusi laman sosial kerana ia lebih mudah.

"Ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya hanya melayari laman sosial untuk melihat kediaman yang berada di kawasan yang saya inginkan serta menepati bajet.

"Selepas melihat produk hartanah ini, saya terus menghubungi ejen dan mengunjungi rumah contoh serta melihat kawasan projek yang sudah dibangunkan sebelum itu. Ini kerana kediaman saya ini adalah fasa kedua dan fasa pertama sudah pun didiami pembeli. Jadi lebih mudah untuk melihat persekitarannya," katanya.

Katanya, meskipun jarak antara kediaman yang dibelinya dengan lokasi tempat kerja mengambil masa kira-kira 30 minit memandu tetapi ia bukan suatu halangan kerana memikirkan mengenai keselesaan rumah untuk dihuni dan mampu memenuhi impian mempunyai kediaman jenis teres.

"Saya memang sejak dahulu lagi gemarkan rumah teres berbanding strata kerana ia lebih mudah dan selesa. Selain itu, bagi saya apabila membeli rumah teres ini harga pasarannya pada masa depan lebih baik untuk dijadikan pelaburan.

"Dari segi jarak dengan tempat kerja memang sedikit mengambil masa berbanding dengan kediaman sewa ketika ini yang mengambil masa hanya sepuluh minit memandu sahaja. Bagi saya, keselesaan apabila pulang ke rumah adalah perkara yang menjadi keutamaan," katanya.

Tambahnya, menerusi tinjauan awalnya mendapati kediamannya juga berada dekat dengan pelbagai lokasi komersial serta hubungan jalan raya menjadikan pergerakannya untuk ke tempat kerja, lapangan terbang dan menghala ke ibu negara juga mudah.

"Jarak kediaman saya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit sahaja memandu. Manakala jika ingin ke Kuala Lumpur, sekitar 45 minit.

"Jaringan hubungan jalan raya memainkan peranan penting kerana ia boleh menjimatkan masa pergerakan. Selain itu, kediaman saya ke tempat kerja juga mempunyai jalan yang tidak memerlukan bayaran tol. Justeru, ia menjimatkan kos perjalanan harian," katanya.

Katanya, antara faktor dia membeli produk hartanah jenis teres kerana ingin memberi keselesaan kepada keluarganya terutama ibu dan bapanya jika ingin datang melawat.

"Hasrat saya membeli rumah ini sebenarnya untuk memberi keselesaan kepada ibu dan bapa. Namun, belum sempat rumah ini siap, bapa saya meninggal dunia. Arwah bapa yang banyak menyokong untuk saya membeli rumah sebenarnya," katanya.

Nasihatnya, untuk membeli rumah pertama perkara paling penting ialah mempunyai strategi kerana ia mampu menguruskan kewangan dengan baik dan juga mudah mendapat pembiayaan daripada pihak bank.

Posted on: 10th July 2023

Source: Harian Metro