SELEPAS kira-kira empat tahun pasangan suami isteri ini menyewa akhirnya impian mereka tercapai untuk memiliki kediaman sendiri.
Namun, bukan mudah untuk mereka mendapatkan kediaman yang diinginkan.
Sebanyak dua kali permohonan pembiayaan yang dibuat kepada pihak bank ditolak kerana dilihat masih kurang berkemampuan.
Dari situ pasangan suami isteri itu, Muhammad Nasrun Abdul Rahman dan Sumayyah Ismail, masing-masing berusia 35 tahun amat menitik beratkan pengurusan kewangan supaya impian mereka memiliki kediaman sendiri tercapai.
Sumayyah berkata, sejak mereka berkahwin pada tahun 2013, impian untuk memiliki kediaman sendiri sememangnya sudah ada kerana melihat ia lebih berbaloi membayar ansuran kediaman sendiri berbanding menyewa.
Katanya, selepas berkahwin dia ketika itu masih lagi menuntut di Universiti Malaya (UM). Selepas menamatkan pengajian dia dan suami tinggal menyewa dari tahun 2015 hingga 2018.
"Ketika tamat pengajian, saya mengikuti suami yang perlu berkhidmat sebagai guru di Johor. Jadi saya dan suami menyewa rumah pada tahun 2015 hingga 2018.
"Selain melihat lebih berbaloi untuk memiliki rumah sendiri, kami juga menitik beratkan kepada faktor lokasi kediaman yang dekat dengan tempat kerja.
"Ketika menyewa kediaman kami juga agak dekat dengan tempat kerja tetapi disebabkan masalah kesesakan lalu lintas menyebabkan masa lama untuk sampai," katanya.
Katanya, dia dan suami mengambil masa kira-kira setahun untuk membuat tinjauan mengenai produk kediaman dan lokasi yang diinginkan kerana bagi memastikan hartanah yang dimiliki itu berbaloi.
"Agak lama juga kami mengambil masa untuk persediaan membeli rumah kerana sebelum berjaya membeli rumah ini sudah dua kali permohonan pembiayaan kami ditolak kerana masih tidak dapat memenuhi beberapa kriteria yang diperlukan oleh pihak bank.
"Selain itu, persediaan lain bagi memastikan produk hartanah yang dibeli ini mampu dijadikan satu instrumen pelaburan jangka masa panjang yang baik untuk kami berdua pada masa depan," katanya.
Sumayyah dan suami membeli kediaman teres dua tingkat berkeluasan kira-kira 1,170 kaki persegi yang mempunyai empat bilik tidur pada RM480,000. Mereka berdua mula memasuki kediaman itu pada 2019.
Katanya, dia dan suami juga membelanjakan sekitar RM70,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian kerana melihat kediaman yang baik dari segi rekaan bukan sahaja mampu memberi keselesaan tetapi ia boleh memberi nilai tambah kepada pelaburan hartanah pada masa panjang.
"Saya dan suami sebenarnya berhasrat untuk menjadikan kediaman ini sebagai inap desa pada masa depan kerana bercadang untuk membina rumah sendiri di kampung suami yang terletak di Perak.
"Jadi bagi saya dan suami, pengubahsuaian kediaman bukan sesuatu yang membazir tetapi boleh menjadikannya sebagai tarikan kepada bakal penyewa pada masa depan untuk menyewa kediaman kami," katanya.
Katanya, rekaan dan bentuk kediaman juga memainkan peranan yang penting untuk perancangan jangka masa panjang bagi menjadikan kediaman itu sebagai sebuah inap desa.
"Kediaman kami ini boleh dikatakan mempunyai rekaan dalaman yang agak luas di ruang tamu, dapur dan bahagian luar untuk meletakkan kenderaan.
"Bagi saya dan suami, luas bahagian luar kediaman juga penting kerana tidak mahu kenderaan yang diletakkan di luar serta mengganggu keselesaan jiran.
"Mengenai luas di dalam kediaman pula, ia turut memainkan peranan penting dan apabila kami berada di dalam kediaman ini, rasa lebih selesa. Apatah lagi ada bahagian dapur untuk kerja-kerja memasak yang selesa," katanya.
Jelasnya lagi, untuk membeli kediaman dia melihat beberapa perkara perlu dititik beratkan antaranya pengurusan kewangan supaya pihak bank mampu memberi pembiayaan.
"Jika kita mempunyai komitmen lain dari segi pembiayaan kepada pihak bank pastikan ia diuruskan dengan baik. Selain itu, jika ingin menggunakan akaun perniagaan pastikan juga sudah cukup lima tahun perniagaan itu beroperasi.
"Pada masa yang sama, memandangkan pembiayaan kediaman ini mengambil masa yang panjang, saya dan suami turut mementingkan perancangan selepas membeli kediaman ini iaitu untuk menjadikannya sebagai satu instrumen pelaburan kami sekeluarga," katanya.