TOWNHOUSE yang juga dikenali sebagai rumah bandar adalah kediaman yang dari luar kelihatan seperti sebuah teres biasa.
Biasanya townhouse dibina dengan dua tingkat di mana tingkat atas dan bawah mempunyai dua pemilik yang berbeza.
Selain rumah dua tingkat, townhouse juga ada yang dibina empat tingkat di mana setiap rumah dan pemilik mempunyai dua tingkat mereka sendiri.
Semakin banyak tingkat sesebuah townhouse itu, semakin kecillah ruang pada setiap tingkat.
Setiap rumah mempunyai pintu yang berbeza, jadi tidak timbul masalah privasi di antara dua pemilik. Selain itu, kebiasaannya rumah di tingkat atas juga akan disertakan dengan balkoni.
Sesetengah townhouse mewah juga mempunyai lif untuk ke tingkat atas. Ada juga yang menyediakan tangga yang berlainan untuk setiap rumah.
Sementara parkir juga biasanya sama seperti parkir rumah teres biasa. Namun ada juga sesetengah kawasan yang menyediakan tempat 'parking tandem.'
Ini bermakna anda berkongsi dua tempat letak kereta dengan orang lain. Sebagai contoh, kenderaan pertama yang diletakkan di ruang itu akan disekat masuk sebaik sahaja kenderaan kedua diletakkan di belakangnya.
Bagi isu hak milik tanah untuk jenis rumah ini pula, kebiasaannya ia adalah strata title. Ini bermakna ia adalah harta bersama dan tidak boleh melakukan pengubahsuaian sesuka hati.
Jika masih ingin melakukan kerja pengubahsuaian, adalah lebih baik untuk mendapatkan nasihat daripada pemaju terlebih dahulu.
Biasanya townhouse adalah lebih murah berbanding rumah teres. Ini menjadikan ia sesuai bagi mereka yang inginkan rumah di atas tanah ('landed') pada harga lebih rendah.
Dari sudut keselamatan pula, kebanyakan rumah ini adalah berpagar dan ada sesetengahnya mempunyai kawalan keselamatan 24 jam. Ada juga yang disertakan sekali dengan kad akses untuk memudahkan akses kebenaran masuk dan keluar dari kawasan rumah.
Bagaimanapun, kemudahan ini bergantung kepada harga dan kawasan rumah itu. Sekiranya harga rumah lebih tinggi, maka lebih banyak kemudahan yang diberikan.