KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapat galakan daripada langkah kerajaan untuk menurunkan harga simen bagi pemaju membina rumah mampu milik yang berharga RM300,000 ke bawah.
Sementara itu, Tong berpendapat sudah tiba masanya pemain industri yang berkaitan menawarkan inisiatif dalam usaha menjadikan perumahan lebih mampu milik.
"Kami bukan sahaja memerlukan sokongan dari segi harga bahan yang lebih berpatutan dan perkhidmatan berkaitan, tetapi juga (sokongan) daripada institusi kewangan," kata Tong.
Sebagai contoh, REHDA percaya sekiranya bank menawarkan kadar istimewa dan/atau rancangan kewangan untuk pembinaan dan pembelian rumah mampu milik, ini akan membawa kepada lebih banyak penjimatan bagi rakyat Malaysia yang tidak dapat membeli rumah.
Bagaimanapun, untuk menjadikan semua perumahan benar-benar mampu milik, Tong berkata situasi yang ideal ialah kerajaan mengambil alih sepenuhnya dalam penyediaan rumah mampu milik, seperti keadaan sebelum 1970-an apabila tiada rumah mampu milik atau perumahan kos rendah dilaksanakan oleh pemaju.
Ini akan membantu pemaju untuk tidak menaikkan harga rumah yang berharga tetap bagi memberi subsidi silang kepada unit mampu milik, katanya.
Kerajaan juga, katanya akan dapat menggunakan pengetahuan dan maklumat daripada pelbagai agensinya bagi memastikan jenis rumah mampu milik yang betul dibina di lokasi yang betul, katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Oliver HC Wee, berkata persatuan itu mengalu-alukan kerjasama kerajaan dan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) dalam menawarkan harga simen pada kadar yang berpatutan.
"Bagaimanapun, memandangkan tawaran itu memberi manfaat khusus kepada kumpulan berpendapatan B40 dan M40, ia tidak akan menjejaskan industri pembinaan secara amnya," kata beliau.
Justeru, beliau berharap semua harga bahan binaan akan kekal stabil.
Susulan dengan pengumuman Perdana Menteri, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata C&CA menawarkan sejuta tan simen pukal pada harga RM290 setan di bawah inisiatif Skim Simen Rahmah untuk pemaju perumahan swasta membina unit mampu milik berbanding harga pasaran iaitu RM410 setan.
Ini bersamaan insentif 29.3 peratus daripada pembekal simen, katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kor Ming berkata, nilai satu juta tan simen akan ditukar kepada 20 juta beg simen standard 50 kilogram, mencukupi untuk pembinaan 24,000 unit rumah mampu milik.
Satu beg simen berharga RM22.50 pada masa ini dan harganya berkurangan sebanyak 22.2 peratus kepada RM17.50.
Sebanyak 20 juta beg simen akan dibekalkan secara berperingkat kepada pemaju perumahan swasta yang membina unit mampu milik untuk tempoh maksimum empat tahun sehingga 30 Jun 2028.