Jumlah pembiayaan itu adalah kelulusan 100 peratus, kata SJKP dalam satu kenyataan hari ini.
"Dengan kelulusan melebihi 100 peratus yang diberikan oleh SJKP, pembeli rumah pertama tidak perlu lagi risau untuk menyediakan deposit pembelian sebanyak 10 peratus kepada pemaju perumahan," katanya.
SJKP berkata, sejak 2007 juga pihaknya juga telah membantu seramai 17,566 golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama mereka dengan nisbah kelulusan 50 peratus kepada golongan tidak berpendapatan tetap dan 50 peratus lagi kepada golongan berpendapatan tetap.
Menurutnya, syarikat itu akan terus mendokong aspirasi kerajaan dalam usaha membantu golongan berpendapatan tidak tetap dan berpendapatan tetap memiliki rumah pertama.
Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023 telah memperuntukkan sebanyak RM5 bilion kepada Skim Jaminan Kredit Perumahan yang terbuka kepada golongan berpendapatan tidak melebihi RM11,000 untuk membeli rumah pertama dengan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000.
"Menjadi harapan SJKP melalui jaminan kerajaan ini, lebih banyak institusi kewangan turut memainkan peranan mereka untuk memberikan kemudahan pembiayaan kepada golongan sasaran yang ingin membeli rumah pertama mereka seterusnya dapat membantu menyediakan kemudahan asas kepada keluarga mereka," katanya.