LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Kenaikan OPR punca pembelian rumah merosot



KUALA LUMPUR: Kenaikan berturut-turut Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin menjadi faktor utama permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah terus mencatatkan penurunan untuk bulan keempat berturut-turut pada Disember 2022.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng, berkata data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan jumlah permohonan pinjaman berkurangan sebanyak 6.5 peratus bulan ke bulan pada Disember 2022.

Beliau berkata, kemerosotan itu berterusan daripada penurunan sebanyak tiga peratus yang dicatatkan pada November 2022. 

"Kami melihat bahawa penurunan berterusan dalam permohonan pinjaman mungkin disebabkan oleh kenaikan OPR pada September dan November.

"Ini sekali gus mengurangkan minat belian akibat daripada ansuran bulanan yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.

Jze Tieng berkata, selain itu, kekurangan insentif pembelian hartanah untuk pembeli rumah juga turut menurunkan minat pembelian.

Beliau berkata, pada asas tahunan, permohonan pinjaman jatuh 26 peratus pada Disember 2022 berikutan penurunan mendadak sebanyak 21 peratus pada November 2022.

Katanya, pinjaman diluluskan secara marginal juga lebih rendah pada tempoh dikaji.  

"Jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah susut sedikit sebanyak satu peratus bulan ke bulan pada Disember 2022 selepas penurunan sebanyak 12 peratus pada November 2022. 

"Penurunan dalam pinjaman yang diluluskan adalah terutamanya disebabkan oleh permohonan pinjaman yang lebih rendah, yang diimbangi oleh peratusan lebih tinggi daripada jumlah pinjaman diluluskan berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 45 peratus pada Disember 2022," katanya.

Jze Tieng berkata, pada asas tahunan, pinjaman yang diluluskan merosot sebanyak 18.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2022.

Beliau berkata, ia berikutan penurunan sebanyak 15 peratus pada November 2022. 

"Kami melihat bahawa penurunan dua angka untuk dua bulan berturut-turut tidak memberi petanda baik untuk prospek jualan baharu bagi pemaju hartanah," katanya.

Posted on: 21st February 2023

Source: Berita Harian