LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Yayasan My First Home bantu pembeli rumah B40



KUALA LUMPUR: Yayasan My First Home (YMFH), yang diasaskan hartawan Tan Sri Vincent Tan menyasarkan untuk membantu sehingga 150 pembeli dalam golongan B40 memiliki rumah sendiri pada tahun ini dengan menyediakan bantuan kewangan deposit dan yuran guaman.

Pengurus Besar YMFH, Nambee Ashvin Nambiar, berkata tahun lalu pihaknya berjaya membantu 19 pembeli rumah dengan menawarkan pinjaman tanpa faedah bagi membolehkan mereka membayar deposit 10 peratus dan yuran guaman.

Katanya, pihaknya menyedari bahawa antara cabaran utama untuk pembeli rumah dalam kalangan B40 adalah untuk menyediakan deposit sekurang-kurangnya 10 peratus, di samping bayaran yuran guaman.

"Justeru, kami cuba membantu mereka dari segi ini, cuma ada beberapa kriteria yang kami tetapkan untuk sesiapa yang ingin memohon.

"Kriteria yang ditetapkan adalah pendapatan isi rumah pemohon adalah di bawah RM5,000, harga rumah yang ingin dibeli kurang daripada RM350,000 dan yang terakhir, mereka tiada masalah untuk mendapatkan pinjaman dengan bank.

"Jika semuanya sudah dipenuhi, maka mereka boleh cuba memohon di laman sesawang kami dengan mengisi borang secara dalam talian," katanya kepada BH.

YMFH dilancarkan pada tahun lalu oleh Tan, yang juga pengasas Berjaya Corporation Bhd.

Tujuan penubuhannya adalah untuk mempromosi dan memudahkan pembangunan rumah mampu milik dan pemilikan rumah oleh kumpulan B40, termasuk setinggan dan masyarakat orang asli.

Lulus seawal tiga hari
Mengulas lanjut, Nambee berkata, pemohon kemudian akan ditemubual menerusi telefon dan seterusnya jika layak, permohonan mereka akan diluluskan seawal tiga hari.

"Bayaran ini akan dikreditkan kepada peguam yang menguruskan proses jual beli rumah mereka.

"Dari segi bayaran bulanan, pemohon diberi peluang untuk menentukan sendiri berapa jumlah bayaran bulanan mengikut tahap kemampuan mereka.

"Ada pemohon yang meminta untuk membayar RM50 sebulan, kita luluskan kerana kita tidak mahu bayaran ini menjadi bebanan buat mereka sehingga mengganggu perbelanjaan harian. Maka kerana itu, kami akan bertanya terlebih dulu jumlah kadar bayaran yang mereka mampu untuk bayar," katanya.

Kumpulan B40 merangkumi isi rumah yang memperoleh pendapatan bulanan median RM5,000 dan ke bawah, merangkumi 40 peratus daripada penduduk Malaysia.

Golongan yang jatuh dalam kategori ini kebiasaannya menghadapi kesukaran untuk memiliki rumah, selain bergelut dengan kos sara hidup.

Posted on: 8th February 2023

Source: Berita Harian