LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Permintaan tetap rancak



KEGUSARAN orang ramai pada tahun 2023 adalah gelombang kemelesetan ekonomi akibat konflik kuasa besar dunia.

Pelbagai sektor ekonomi dalam negara tidak terkecuali terkesan dan ia mempengaruhi tabiat berbelanja dalam kalangan masyarakat.

Melihat senario itu, ramai mengandaikan sektor hartanah antara paling terkesan, namun hasil Tinjauan Sentimen Pasaran Hartanah 2023 oleh Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) baru-baru ini membabitkan 385 ejen hartanah berdaftar aktif di lapangan mendapati ia adalah sebaliknya.

Menurut Presiden MIEA Chan Ai Cheng, pihaknya mendapati reaksi atau permintaan hartanah jenis sewaan sangat menggalakkan dan segmen itu stabil apabila disumbangkan oleh beberapa faktor.

"Tinjauan mengenai sentimen situasi pasaran hartanah daripada ahli yang berada dalam lapangan termasuklah berurusan dengan pembeli dan penyewa mencatatkan peningkatan lebih positif dan stabil.

"Berdasarkan statistik, terdapat peningkatan daripada aktiviti membabitkan sewaan hartanah pada tahun 2021 sehingga 2022.

"Berdasarkan reaksi ahli, sebanyak 58 peratus mengakui ada peningkatan dalam permintaan terhadap sewaan kediaman. Ini berdasarkan ahli menerima banyak pertanyaan membabitkan sewaan kediaman sejak fasa pemulihan ekonomi pada tahun 2021.

"Malah 34 peratus mendakwa ada berlaku kenaikan kadar sewaan 10 hingga 20 peratus pada tahun lalu berbanding kadar sewaan 2020 dan 2021.

"Kami juga tidak menolak terdapat sebahagian ahli mendapati kadar sewaan hartanah mengalami penurunan dan selalunya hartanah jenis komersial lebih terkesan berbanding kediaman," katanya.

Kata Chan, sentimen itu dijangka terus positif atas lonjakan beberapa faktor terus membantu meningkatkan aktiviti berkaitan.

"Lonjakan jumlah pertanyaan membabitkan sewaan hartanah adalah disebabkan penyewa berpindah ke unit lain.

"Jika dilihat ada yang naik taraf kediaman sewaan mereka kerana masih bekerja dari rumah. Mereka sudah selesa beroperasi dari rumah dan menjadikan kediaman sebagai pejabat.

"Begitu juga ramai melakukan pergerakan merentas negeri untuk bekerja apabila aktiviti ekonomi semakin pulih. Selain itu , dua tahun lalu ramai yang menjual hartanah lebih selesa memilih menyewa sementara," katanya.

Tidak dinafikan 'tempias' menerusi spekulasi gelombang kemelesetan ekonomi turut terkena sektor hartanah tetapi kesan positif membabitkan generasi muda baru bekerja.

"Merujuk kepada gelombang kemelesetan ekonomi dunia, rasanya komoditi lebih terjejas berbanding hartanah. Antara yang menerima kesan positif adalah segmen sewaan.

"Profesional muda memilih untuk menyewa mengenai ketidaktentuan pasaran selain tidak mahu dibebani komitmen melebihi kemampuan kewangan.

"Sebagai contoh andai mereka menyewa, komitmen sewa kediaman hanyalah jangka pendek dan mereka boleh memilih untuk kekal di kawasan kediaman itu atau menyewa di tempat lain.

"Berbanding membeli hartanah itu, mereka terikat komitmen paling kurang 20 tahun. Tambah pula dengan situasi kos rumah baharu tinggi, kemungkinan mereka tidak ada keupayaan kewangan," katanya.

Chan juga menyarankan pemilik hartanah untuk menaik taraf unit mereka agar mewujudkan peluang lebih baik dalam pasaran sewaan yang kompetitif.

"Bagi pemilik rumah, untuk tempoh setahun ini saya sarankan elak naikkan kadar sewa bagi mengelak penyewa mereka beralih 'arah'.

"Sempurnakan unit kediaman dengan kelengkapan asas seperti perabot dan perkakas elektrik.

"Ini meningkatkan kebolehpasaran rumah atau unit hartanah sewaan mereka mendapat perhatian penyewa berpotensi dan sesuai dengan prospek klien dicari," katanya.

Posted on: 31st January 2023

Source: Daily Express