LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Pemaju berdepan dilema naikkan harga rumah



KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah berdepan kesukaran untuk memindahkan kos pembinaan yang lebih tinggi kepada pembeli kerana kenaikan harga rumah akan menjejaskan jualan.

Penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen, perkembangan itu menyebabkan daya maju untuk melancarkan rumah kediaman baharu berdepan dengan risiko.

"Kebanyakan pemaju memilih untuk mengorbankan margin (keuntungan)," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, Kenanga Research menjangkakan persekitaran perniagaan bagi pemaju hartanah akan kekal mencabar pada 2023.

"Kami melihat trend industri yang kurang baik pada kebanyakan 2022 akan berterusan sehingga 2023. Ini termasuklah harga rendah yang dicerminkan dalam kelemahan indeks harga rumah seperti dilihat pada penguncupan yang berlaku semasa suku ketiga 2022 di sebalik kenaikan kos pembinaan dan tanah.

"Selain itu, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih lagi tinggi tinggi pada 85 peratus setakat separuh pertama 2022," katanya.

Harga bahan binaan dilaporkan terus meningkat, dengan harga seunit simen baik 1.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 dan mencatatkan peningkatan dua bulan berturut-turut.

Selain simen, harga bahan binaan lain seperti batu bata dan dinding, bahan paip serta cat turut meningkat pada Disember 2022 berbanding bulan sebelumnya untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Joe Shen berkata, walaupun kadar kelulusan pinjaman dalam tempoh 10 bulan pertama 2022 kembali pulih ke paras prapandemik pada 43 peratus, ia masih lagi ketinggalan berbanding paras 45 hingga 51 peratus yang disaksikan semasa tempoh pertumbuhan sektor hartanah antara 2011 hingga 2014.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan penerbitan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat pengurangan unit rumah kediaman dalam edaran (termasuk unit siap tidak terjual dan unit sedang dalam pembinaan tidak terjual) berbanding paras kemuncak yang direkodkan pada 2021.

"Di sebalik penurunan itu, kami mendapati jalan ke arah pemulihan masih lagi jauh memandangkan unit dalam edaran masih lagi tinggi berbanding sebelum ini, menyebabkan berlaku persaingan harga dan memberikan tekanan kepada pelancaran unit-unit baharu," katanya.

Beliau berkata, sejak bermula pandemik, satu-satunya subsegmen hartanah kediaman yang mencatatkan pertumbuhan harga adalah rumah teres, manakala harga rumah kediaman tinggi dan berkembar sama ada merosot atau hanya meningkat sedikit.

"Mengambil petunjuk daripada trend sedemikian, kami percaya pemaju yang menumpukan kepada perbandaran bertanah seperti EcoWorld, IOI Property dan Sime Property akan mencatatkan prestasi lebih baik berbanding yang lain," katanya.

Posted on: 17th January 2023

Source: Berita Harian