LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Bank Islam teruskan kempen My Dream Home tahun hadapan



KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) akan meneruskan penganjuran kempen My Dream Home pada tahun hadapan selepas kejayaan yang memberangsangkan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Runcit Bank Islam, Mizan Masram, berkata sepanjang kempen itu berlangsung dari 1 Disember 2021 sehingga 31 Ogos 2022, bank itu berjaya mencatatkan lebih RM2.3 bilion pembiayaan perumahan.

Katanya, kempen itu bertujuan untuk menghargai sokongan dan kepercayaan pelanggan terhadap bank selama ini dengan menyediakan peluang kepada mereka untuk memenangi pelbagai hadiah menarik dengan jumlah keseluruhan hadiah kemenangan melebihi RM1 juta.

"Bank Islam sentiasa bersedia untuk membantu individu yang layak untuk membeli rumah idaman mereka dengan menyediakan akses kepada pembiayaan yang kompetitif serta patuh syariah.

"Penyediaan kemudahan pembiayaan perumahan ini juga adalah sebahagian daripada usaha pihak Bank dalam memenuhi objektif teras strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) bagi kesejahteraan pelanggan menerusi penawaran produk-produk yang mengetengahkan keperluan mereka.

"Sebagai tanda terima kasih di atas sokongan pelanggan-pelanggan dan dalam usaha pihak Bank bagi memperkukuhkan lagi perniagaan, Bank Islam akan meneruskan penganjuran kempen-kempen yang menyediakan pelbagai hadiah menarik terutama kepada pelanggan yang memohon produk pembiayaan perumahan kami di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah utama bagi kempen 'My Dream Home 2.0' di sini, hari ini.

Penganjuran kempen My Dream Home 2.0 adalah susulan daripada kejayaan edisi pertama penganjurannya yang bermula pada tahun 2021 dan kempen ini terbuka kepada pelanggan Pembiayaan Rumah-i Baiti atau Pembiayaan Semula Rumah-i Wahdah Bank Islam.

Menerusi kempen ini, seramai tiga pelanggan bertuah telah terpilih sebagai pemenang hadiah utama dalam cabutan kempen yang diadakan baru-baru ini.

Hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM250,000 dimenangi oleh Nurhanishah Che Ngah, 32 tahun, seorang cikgu yang berasal dari Guar Chempedak, Kedah.

Manakala tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Azley Azmi, 43, dari Sungai Petani, Kedah dan tempat ketiga dimenangi oleh Mohamad Zikri Ghazali, 35, dari Johor.

Masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM50,000 dan RM25,000.

Bagi pemenang suku tahunan, seramai 90 pemenang bertuah masing-masing telah menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10.000.

Nama pemenang berkenaan telah dipilih menerusi cabutan suku tahunan yang dibuat sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Kempen 'My Dream Home 2.0' ini dijalankan selama sembilan bulan dan ia terbuka kepada pelanggan baru menerusi permohonan Pembiayaan Rumah-i Baiti atau Pembiayaan Semula Rumah-i Wahdah dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM200,000.

Bagi memastikan ketelusan dalam pemilihan pemenang, ianya dipilih secara rawak melalui cabutan dengan menggunakan kaedah enjin cabutan umum Bank Islam.

Posted on: 6th December 2022

Source: Berita Harian