Beliau berkata, pihaknya memperakui bahawa terdapat penurunan membabitkan beberapa jenis bahan binaan, namun tidak semuanya turun dan tahap penurunannya juga masih tidak dapat menyamai harga seperti sebelum COVID-19.
"Saya beri contoh, sebelum COVID-19 harga besi lebih kurang RM2,800 satu tan dan pada awal tahun ini harganya secara purata ialah RM3,800 satu tan.
"Sekarang memang sudah ada penurunan, kepada RM3,200 hingga RM3,300 per tan bergantung kepada saiz. Begitu juga dengan harga simen yang menyaksikan penurunan dalam 30 peratus ketika ini.
"Bagaimanapun, kebanyakan harga bahan binaan yang turun adalah yang dihasilkan di dalam negara. Namun, untuk bahan atau barang yang kita import, saya masih belum nampak ada penurunan," katanya sambil menambah bahawa harga aluminium dan lif sebagai contoh masih kekal sama dan tidak turun walaupun harga aluminium di pasaran antarabangsa telah mencatatkan penurunan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Glomac ke-38 di sini, Rabu lalu.
Dalam pada itu, FD Iskandar berkata, Glomac yakin mampu melepasi sasaran jualan RM160 juta yang direkodkan pada tahun kewangan berakhir 30 April 2022 bagi tahun kewangan berikutnya, didorong oleh pelancaran projek baharu pada masa akan datang.
"Bagi tahun kewangan semasa berakhir 30 April 2023 setakat ini, kami telah merekodkan jualan bernilai sekitar RM125 juta. Pada tahun (kewangan) lalu, kami kehilangan kira-kira lapan bulan kerana ordinan darurat serta pandemik. Jadi, tahun ini kami berharap untuk melakukan lebih baik daripada tahun lalu.
"Untuk tahun 2023, Glomac merancang untuk melancarkan projek baharu bernilai RM469 juta dengan kebanyakan pelancaran akan dibuat pada suku ketiga dan keempat kerana kami mahu melihat terlebih dulu sama ada keadaan buruh telah bertambah baik, selain mahu untuk melihat juga sama ada harga bahan binaan telah stabil," katanya.
FD Iskandar turut memohon kerajaan supaya memperkenalkan semula kempen pemilikan rumah (HOC) bagi menggalakkan pasaran hartanah dalam negara.
"Kami dengan rendah diri meminta kepada kerajaan supaya dapat memperkenal kembali HOC kerana pada masa ini kita masih dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Saya percaya majoriti pemaju hartanah mahukan HOC diperkenalkan semua dan ini adalah permintaan pertama kami kepada kerajaan selepas mahukan proses pengambilan buruh asing dipermudahkan," katanya.
Pada AGM ke-38 itu, pemegang saham telah meluluskan semua 11 resolusi yang dibentangkan termasuk meluluskan pemberian dividen peringkat tunggal sejumlah 1.5 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan 2022 berbanding 1.0 sen sebelumnya.