KUALA LUMPUR: Peminjam yang membabitkan pembiayaan kadar apungan seperti pinjaman rumah perlu membayar kadar faedah lebih tinggi, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali kepada 2.50 peratus, tahun ini.
Setiap kali OPR dinaikkan, pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan akan meningkat dan menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah.
Penganalisis hartanah, Ahyat Ishak, berkata sebagai contoh, untuk pembiayaan perumahan sebanyak RM500,000 (90 peratus) dengan tempoh 30 tahun pada kadar keuntungan 3.75 peratus, jumlah bayaran setiap bulan ketika ini ialah sebanyak RM2,084.02.
"Berdasarkan kadar semasa selepas kenaikan OPR, peminjam perlu membayar sekitar RM186.80 tambahan untuk kediaman berharga RM500,000 berbanding RM1,897.22 ketika OPR berada pada paras terendah 1.75 peratus," katanya.
Ditanya sama ada kenaikan terbaharu OPR akan mengekang rakyat membeli rumah, Ahyat berkata, perkara itu benar kerana kemampuan pemilikan kediaman terletak kepada penentuan kadar faedah yang ditetapkan bank.
"Apabila kadar faedah rendah, kemampuan rakyat memiliki rumah sangat tinggi kerana mampu membayar lebih untuk kediaman sama. Ketika ini, kenaikan hampir RM200 ini boleh disifatkan tinggi.
"Kadar faedah yang ditetapkan bank ini menentukan kemampuan rakyat untuk membeli kediaman. Jika sebelum ini, mereka mampu membeli kediaman berharga RM500,000, namun dengan kadar baharu sudah pasti kemampuan mereka terjejas.
"Pengiraan ini sekadar asas kerana bank memiliki pengiraan sendiri untuk menentukan jumlah kenaikan bayaran bulanan," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, kenaikan OPR bertujuan mengurus penawaran wang dalam ekonomi serta mengawal permintaan agregat dalam ekonomi.
Katanya, kenaikan sedikit sebanyak, walaupun secara tidak langsung, akan turut mempengaruhi tingkat harga barang dan perkhidmatan supaya tekanan peningkatan dapat diurus dengan baik.
"Saya melihat kenakan OPR tepat pada masanya dengan melihat kepada situasi terkini ekonomi Malaysia, terutamanya dalam indikator ekonomi utama, seperti nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan tahap pengangguran.
"Begitu juga dengan perkembangan terkini situasi ekonomi global dan dasar monetari yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara, terutamanya negara maju," katanya.
Dari aspek pengguna pula, Irwan Shah berkata, bergantung kepada tahap pendapatan seseorang kerana secara umumnya, ada peningkatan dari segi kos pembayaran balik hutang.
Mengulas mengenai kesan kenaikan ansuran bulanan bagi pembiayaan atau pinjaman, beliau menjelaskan, kadar OPR baharu sememangnya akan meningkatkan bayaran bulanan, tetapi masih lagi rendah berbanding dengan kos sebelum era pandemik.
"Ini bukanlah satu tindakan mengetatkan dasar daripada BNM, tetapi hanyalah proses normalisasi.
"Saya berpendapat tidak semestinya kenaikan OPR akan mengekang pemilikan kediaman. Jika ada sekalipun, hanyalah satu keadaan jangka pendek," katanya.