Demikian persoalan yang diajukan lebih 6,000 penghuni di Pangsapuri Baiduri Fasa 6, Bandar Tasik Kesuma di sini yang kerap mengalami gangguan bekalan air sejak tahun 2000 ketika kawasan perumahan itu pertama kali dibuka.


Pengerusi rukun tetangganya, Mustaffa Othman, 49, berkata, sehingga hari ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) juga gagal memberikan sebarang jawapan bila masalah itu akan berakhir malah jika aduan dibuat jawapan yang diberikan hanyalah janji kosong bahawa '˜esok ada air'.


Katanya, kemuncak kepada masalah tersebut berlaku pada 18 Jun lalu ketika hari pertama bulan Ramadan apabila bekalan air yang terputus berlarutan selama sembilan hari tanpa sebarang notis menyebabkan penduduk terutama orang Islam yang mengerjakan ibadah puasa menderita.


'Kami semua terkejut kerana tiba-tiba sahaja pada hari pertama berpuasa bekalan air terputus menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan wang untuk membeli bekalan air kerana tiada sumber air bersih yang boleh dicari di kawasan ini.


'Selepas beberapa hari masalah tersebut diajukan kepada Syabas, mereka akhirnya menghantar beberapa tangki air untuk digunakan namun jumlah itu tidak pernah cukup malah menyukarkan penghuni yang tinggal di tingkat empat dan lima pangsapuri untuk mengangkut air setiap hari,' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di sini hari ini.


Menurut Mustaffa, bekalan air hanya kembali pulih semalam selepas pihak berkuasa '˜membuka mata' apabila masalah tersebut diajukan kepada pihak media dan telah disiarkan untuk tatapan umum.


Bagaimanapun katanya, penghuni-penghuni di situ tetap melahirkan kerisauan bahawa bekalan bahan asas itu tidak akan bertahan dan mungkin terputus lagi memandangkan perkara sama sudah berlarutan dalam tempoh lama tanpa penyelesaian.


Seorang penghuni, Hadijah Ahmad, 47, yang mengalami masalah sakit tulang berkata, krisis yang berlaku baru-baru ini sangat menguji kesabarannya kerana terpaksa mengangkut air menggunakan baldi sejauh 500 meter untuk ke rumahnya yang terletak di tingkat empat bangunan.


Selain itu katanya, ketiadaan air menyebabkan dua anaknya terpaksa ponteng sekolah selama beberapa hari kerana bekalan yang ada terpaksa disimpan untuk menyediakan makanan berbuka puasa dan bersahur sehingga mereka tidak boleh mandi serta sukar membersihkan diri.


'Saya sekarang sedang menjalani rawatan fisioterapi di hospital sebab sakit lutut dan tulang belakang tetapi disebabkan tiada air terpaksa juga bersabar serta menggagahkan diri turun naik bangunan untuk angkut air dari tangki yang disediakan Syabas.


'Air itu pula tidak pernah cukup sehingga kadang-kadang saya bersama anak-anak terpaksa menunggu bekalan seterusnya yang hanya dihantar antara pukul 12 tengah malam sehingga pukul dua pagi setiap hari,' katanya.


Jiran Hadijah, Siti Jamariah Samsuddin pula berharap supaya kerajaan negeri dapat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah itu dan menamatkan penderitaan yang dihadapi penghuni di situ.