Kesungguhan pemaju dalam menyediakan kemudahan itu yang juga antara inisiatif penyediaan kawasan lapang untuk penduduk setempat dilihat meninggalkan imej baik untuk mereka.
Sejauh mana tindakan pemaju itu boleh mempengaruhi nilai hartanah dalam menarik sentimen positif dalam kalangan pembeli?
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Harta Tanah Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM), Dr Sr Zafirah Al Sadat Zyed, sikap pemaju yang mengambil inisiatif menyediakan taman awam dan infrastruktur membabitkan kawasan lapang sebenarnya lebih kepada tanggungjawab sosial mereka berbanding bermotifkan keuntungan semata-mata.
"Mengikut pengalaman saya, pembangunan membabitkan kawasan lapang memberi impak baik kepada nilai pasaran harta tanah kerana pembangunan mempunyai kawasan lapang akan meningkatkan budaya taman perumahan yang seimbang dengan gaya hidup sihat.
"Selaku pemaju yang bertanggungjawab, pembinaan kawasan lapang yang baik dapat menarik pembeli dan mengekalkan tren kenaikan harga rumah di kawasan terbabit.
"Sebenarnya berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kawasan Lapang ditetapkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, pemaju perlu memperuntukkan 10 peratus kawasan lapang dalam pembangunan mereka bagi mendapat kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan.
"Berdasarkan garis panduan memang dengan jelas ada pecahan bagi penilaian dalam mentafsir sesuatu kawasan lapang membabitkan projek perumahan baharu," katanya.
Merujuk definisi kawasan lapang, kata pakar itu, subseksyen 2(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) menjelaskan keselesaan dan fungsi utama penyediaan kawasan lapang dalam konteks perancangan dan pembangunan adalah penting.
"Tanah atau suatu ruang khas yang dirizabkan atau diperuntukkan yang berfungsi sebagaimana ditafsirkan sebagai tanah lapang menurut Subseksyen 2(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976, (Akta 172) meliputi sebarang bentuk aktiviti rekreasi sama ada aktif atau pasif bagi mewujudkan persekitaran yang berkualiti, rendah karbon, mampan dan memberikan keselesaan serta selamat untuk dinikmati.
"Dalam erti kata lain kawasan lapang ini diperuntukkan bagi pembangunan untuk masyarakat setempat dan ini meliputi dari pembinaan taman kawasan lapang atau boleh dikatakan pada struktur strata (merujuk pembangunan di kawasan bertingkat).
"Sebenarnya ada pelbagai kaedah boleh digunakan pemaju dalam memenuhi kuota 10 peratus membabitkan kawasan lapang supaya mereka memperoleh kebenaran merancang itu," katanya.
Namun, pemaju masih perlu sejajar dengan perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mereka dapat memenuhi syarat permohonan kebenaran merancang.
"Sebenarnya peringkat PBT, mereka sudah menanda plot atau kawasan ingin dibangunkan mengikut zon tertentu sama ada ia komersial atau jenis kediaman.
"Di sini juga pemaju berusaha merangka pembinaan hartanah perumahan mengikut keperluan selain perancangan PBT.
"Mereka akan bangunkan projek dengan status tanah dan permintaan pasaran. Secara tidak langsung itu juga mempengaruhi pembangunan kawasan lapang.
"Tiada makna jika bina bangunan dengan kemudahan yang tidak diperlukan penduduk atau komuniti setempat.
"Pemaju kena bina kemudahan yang dapat meningkatkan aktiviti sosial setempat dan akhirnya memberi impak kepada pembangunan kawasan sekitar.
"Jika ada kawasan lapang yang baik dibangunkan oleh pemaju, ini adalah satu bonus kepada pembeli dan dapat meningkatkan sentimen pembeli hartanah mahukan konsep mereka tawarkan," katanya.
Tambahnya lagi, dalam pembinaan kawasan lapang elemen diambil kira dalam pembangunan itu termasuk pembinaan taman awam, wakaf, parkir awam dan rumah ibadat selain struktur utiliti.
"Penilaian saya, imej pemaju sebenarnya bertambah baik dengan pembangunan kawasan lapang.
"Mereka ini dilihat sebagai pemaju bertanggungjawab apabila sanggup melabur untuk pembangunan kawasan lapang ini termasuk mengeluarkan perbelanjaan untuk penyelenggaraan.
"Kawasan lapang juga meningkatkan kualiti hidup, kesihatan dan keselamatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Township Development Sime Darby Property BHD, Apollo Leong berkata, pembinaan kawasan lapang termasuk kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk Taman Kucing di Bukit Raja atas dasar tanggungjawab sosial.
"Pembinaan taman seluas 200 ekar (80.9371 hektar) dengan kos pembinaan RM800,000 dilihat dapat membantu masyarakat.
"Ini juga memberi nilai tambah kepada penduduk selain taman ini juga berfungsi dengan beberapa spesifikasi membantu menyokong sistem menangani dan mengurus banjir di kawasan ini.
"Kami mahu wujudkan masyarakat lebih sihat dan sejahtera bagi perbandaran yang kami bangunkan," katanya.