Menurut laporan mengenai isu berkenaan, peningkatan kadar itu dilihat selepas ada kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya membuat semakan terakhir hampir empat dekad lalu sebelum mewartakan Semakan Senarai Nilaian Baharu pada 3 Mac 2022.
Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Anna Azriati Che Azmi berkata, perkara itu sememangnya boleh mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembayar cukai pintu terhadap kenaikan cukai itu memandangkan terdapat sentimen peningkatan kos sara hidup.
Katanya, perkara itu mempengaruhi bebanan kewangan pembayar cukai pintu. Justeru perlu ada strategi yang boleh diambil PBT untuk menangani perasan tidak puas hati itu.
Jelasnya, cukai pintu adalah satu lagi bentuk cukai yang dikenakan ke atas hartanah dalam kawasan pihak berkuasa tempatan yang dikutip pihak berkuasa tempatan.
"Cukai yang dikenakan ditentukan di bawah peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1976 diwujudkan bertujuan memastikan keseragaman undang-undang, dasar dan operasi berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan di Semenanjung Malaysia.
"Cukai pintu adalah satu bentuk pendapatan PBT untuk menyediakan perkhidmatan awam dan kemudahan seperti pengurusan sisa, kawalan kesihatan awam, penyediaan dan penyelenggaraan taman-taman rekreasi atau taman," katanya.
Tambahnya, dari sudut pembangunan mampan tanggungjawab dijalankan PBT itu akan memberikan kelebihan kepada generasi sekarang untuk menikmati keselesaan dan kemudahan alam sekitar tanpa memberi kesan negatif kepada kepentingan generasi masa depan.
"Tanggungjawab ini adalah sinonim dengan semua majlis pihak berkuasa tempatan yang pendapatan utamanya datang daripada cukai pintu. Cukai pintu dikira daripada penilaian hartanah.
"Penilaian hartanah adalah satu proses untuk menentukan nilai tahunan atau penilaian harta menggunakan kaedah yang diiktiraf. Selalunya, semakin padat kawasan harta, semakin tinggi cukai pintu. Seksyen 130 Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1976 hanya memperuntukkan mengenai pemungutan kadar atas nilai tahunan pada kadar peratusan yang tidak melebihi 35 peratus daripada nilai tahunan yang dinilai," katanya.
Tambahnya, setiap PBT mempunyai klasifikasi yang berbeza dengan kadar caj peratusan yang berbeza walaupun terdapat persamaan dalam struktur bandar dan peruntukan perkhidmatan.
"Berdasarkan kajian oleh Sani Habibu Muhammad dan Mohd Bakri Ibn Ishak pada tahun 2013 mengenai Analisis Perbandingan Caj Kadar Harta antara Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia, didapati bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan caj sebanyak enam peratus untuk kediaman, sementara Shah Alam mengenakan empat peratus dan 3.5 peratus, berbeza dengan Petaling Jaya yang mengenakan caj sebanyak 8.8 peratus dan enam peratus.
"Cukai pintu biasanya dianggap oleh ahli ekonomi sebagai cukai yang baik dan banyak negara dinasihatkan untuk meningkatkan hasil melalui cukai pintu. Bagaimanapun, banyak negara tidak begitu berjaya menggunakan cukai pintu secara efektif," katanya.
Dr Anna berkata, kebanyakan protes terhadap cukai pintu adalah kerana ia dapat dilihat dengan ketara. Tidak seperti cukai pendapatan, cukai pintu tidak dipotong dari punca pendapatan.
"Tidak seperti cukai jualan dan perkhidmatan, ia dibayar dalam jumlah kecil dengan setiap pembelian harian. Sebaliknya, cukai pintu secara amnya perlu dibayar secara langsung oleh pembayar cukai dalam pembayaran berkala selalunya dua kali setahun.
"Tanggungjawab cukai pintu biasanya cukup besar sehingga pembayar cukai perlu menyimpan duit lebih awal atau meningkatkan hutang mereka untuk membayar cukai ini. Oleh sebab itu, cukai pintu kelihatan lebih ketara berbanding cukai lain," katanya.
Katanya, sebuah kajian Bill Simonsen dan Mark Robbins menunjukkan bahawa penduduk lebih bersedia untuk membayar perkhidmatan tempatan apabila mereka menilai kerajaan dan penyediaan perkhidmatan mereka dengan baik. Namun, jika perkhidmatan tidak dianggap mencukupi, mereka lebih cenderung untuk mengadu mengenai cukai pintu mereka.
"Hubungan yang tidak sempurna antara pendapatan pemilik rumah dan tanggungan cukai pintu boleh mencipta masalah bagi pembayar cukai seperti warga emas dengan pendapatan yang rendah.
"Oleh itu, tidak menghairankan bahawa protes datang dari mereka yang mempunyai aset yang banyak tetapi kekurangan tunai," katanya.
Jelasnya, pembayar cukai juga tidak menyukai cukai pintu kerana mereka mungkin tidak bersetuju atau malah tidak memahami asas cukai itu. Kebanyakan cukai didasarkan pada aliran pendapatan atau jualan.
"Cukai pintu biasanya berdasarkan nilai aset. Melainkan aset yang dikenakan cukai dijual dalam transaksi antara pembeli kepada penjual pada tarikh penilaian yang tepat yang dinyatakan dalam undang-undang, seseorang harus menentukan nilai yang menjadi asas untuk menilai cukai pintu. Dalam istilah lain, cukai pintu adalah cukai yang bersifat lebih subjektif.
"Penilaian cukai pintu memang boleh menimbulkan perselisihan faham dan boleh menyebabkan orang awam kurang percaya kepada pihak berkuasa tempatan," katanya.
Pensyarah itu menjelaskan tidak menghairankan bahawa isu cukai pintu sering kali dianggap tidak adil. Persepsi pembayar cukai pintu berkenaan keadilan cukai mempengaruhi sejauh mana pemerintah dapat pembaharuan cukai itu. Jika kadar cukai pintu sangat rendah, ia mungkin tidak mendapat perhatian tetapi ketika kadar itu dinaikkan orang cenderung untuk menentang kenaikan ini.
"Jika kenaikan cukai pintu hendak dilakukan, beberapa strategi oleh pihak berkuasa tempatan harus dilakukan supaya ia lebih berkesan terutamanya pada masa kos sara hidup meningkat.
"Pertama, adalah menggabungkan reformasi cukai ini dengan peningkatan kualiti perkhidmatan PBT. Ini bermaksud bahawa walaupun mencadangkan kenaikan cukai, pihak berkuasa tempatan juga harus menunjukkan komitmen untuk meningkatkan perkhidmatan yang disediakan kepada penduduk setempat," katanya.
Kedua adalah dengan mengambil cukai daripada punca pendapatan atau menyediakan pilihan pembayaran yang lebih fleksibel. Perkara ini dapat membantu mengurangkan beban pembayar cukai yang kekurangan tunai dan menyusun atur proses pembayaran yang lebih mudah.
"Ketiga, adalah menjalankan perubahan secara berperingkat. Ini membolehkan masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa terlalu terkejut dengan kenaikan yang mendadak.
"Selain itu, pendidikan kepada pembayar cukai adalah penting agar mereka memahami keperluan dan implikasi kenaikan cukai. Melalui rundingan awam juga, pendapat dan kebimbangan masyarakat dapat didengar dan dipertimbangkan pihak berkuasa tempatan sebelum membuat keputusan mengenai kenaikan cukai pintu," katanya.
Katanya, menyediakan proses rayuan yang mudah diakses juga penting bagi mereka yang tidak bersetuju dengan penilaian cukai pintu. Akhirnya, untuk membantu golongan warga emas yang mungkin terjejas oleh kenaikan cukai, penting untuk menawarkan penangguhan cukai atau pilihan pembayaran yang lebih fleksibel.
"Dengan mengambil kira strategi-strategi ini, kenaikan cukai dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan diterima dengan lebih baik oleh masyarakat ketika kos sara hidup semakin meningkat," katanya.