Kemerosotan permintaan dan bekalan hartanah kediaman pada suku dikaji itu berikutan faktor bermusim seperti perayaan Tahun Baru Cina, yang mana penurunan sama dapat dilihat pada suku pertama 2023 (-5.5 peratus) dan suku pertama 2022 (-2.3 peratus).
Laporan Pasaran Hartanah (MPMR) PropertyGuru Malaysia bagi suku pertama 2024 itu menunjukkan pasaran kediaman stabil di tengah-tengah penunjuk utama yang menyederhana seperti permintaan, bilangan penyenaraian dan permintaan harga.
Dari segi harga perumahan, Indeks Harga Jualan mencatatkan peningkatan suku ke suku yang menggalakkan sebanyak 1.4 peratus.
Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh, berkata laporan dikeluarkan pihaknya itu menunjukkan penurunan dalam permintaan berikutan trend musim perayaan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, pembangunan infrastruktur memberi pengaruh positif kepada dinamik pasaran hartanah dalam subpasaran tertentu.
"Contohnya, hartanah kediaman di Johor mencatatkan peningkatan dua peratus dalam Indeks Permintaan Jualan. Peningkatan pertanyaan hartanah adalah berikutan projek RTS Link akan datang, yang berfungsi sebagai pemangkin dalam meningkatkan permintaan hartanah di kawasan sekitarnya.
"Di masa hadapan, pembangunan seperti ini akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk permintaan hartanah dengan mempengaruhi peluang pembangunan dan pekerjaan di kawasan sekeliling.
"Justeru, ia penting untuk mempertimbangkan pengaruh-pengaruh ini ketika menganalisis trend pasaran dan membuat keputusan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun terdapat penurunan bermusim dalam permintaan dan bekalan perumahan, PropertyGuru Malaysia berkata, pasaran hartanah dijangka untuk mengekalkan kestabilannya.
Ia berkata, MPMR menunjukkan penurunan suku ke suku sebanyak 1.1 peratus dalam Indeks Permintaan Jualan Suku Pertama 2024 dan penurunan 4.4 peratus dalam Indeks Bekalan Jualan, mencerminkan pelarasan bermusim dan bukan kerana isu ekonomi.
Katanya, dalam situasi ketidakpastian yang berterusan seperti peningkatan ketegangan geopolitik dan kemerosotan ekonomi, pencari hartanah telah menyesuaikan jangkaan perumahan mereka dengan sewajarnya.
"Hal ini menunjukkan bahawa pasaran berada pada kedudukan yang stabil, mengekalkan kebolehannya untuk beroperasi dengan berkesan dan menyumbang kepada pasaran hartanah yang lebih sihat, jika tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.
Sementara itu, PropertyGuru Malaysia berkata, Indeks Permintaan Sewa untuk hartanah kediaman pula mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus dari suku ke suku berikutan musim perayaan yang lazimnya menjejaskan aktiviti penyewaan pada awal tahun.
Ia berkata, pengaruh bermusim itu terbukti pada suku pertama 2023, apabila Indeks Permintaan Sewa menurun sebanyak 6.2 peratus.
Walau bagaimanapun, katanya, penurunan dalam permintaan sewa pada suku pertama 2024 mungkin juga dipengaruhi oleh cabaran seperti peningkatan harga permintaan sewa dan peningkatan bekalan hartanah.
PropertyGuru Malaysia berkata, Indeks Bekalan Sewa pada suku pertama 2024 pula menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun yang ketara sebanyak 31.3 peratus, walaupun terdapat penurunan 1.8 peratus dari suku keempat 2023.
Ia berkata, permintaan sewa juga meningkat sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun, mencatatkan lonjakan sebanyak 12.4 peratus dari suku pertama 2023, berikutan pelbagai faktor, termasuk keadaan hartanah yang bertambah baik, permintaan yang meningkat di kawasan tertentu atau perubahan dalam pasaran hartanah tempatan.
Katanya, trend itu menunjukkan dinamik pasaran yang kompleks, di mana trend yang bertentangan boleh berlaku walaupun permintaan menurun.
Mengulas lanjut, Soh berkata, walaupun angka permintaan dan bekalan menunjukkan satu tempoh penyesuaian, daya tahan pasaran dan situasi anjakan itu memberikan pandangan optimis yang berhati-hati.
Katanya, keseimbangan antara bekalan dan permintaan sedang berkembang, dan dengan strategi teliti, pasaran sewa dapat mengekalkan kestabilannya.
"Hal ini akan terus menarik pelaburan hartanah daripada pembeli yang ingin menikmati hasil sewa yang baik, terutamanya di kawasan yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi lebih pantas dan mempunyai pembangunan infrastruktur dalam perancangan," katanya.
Soh berkata, projek infrastruktur dan inisiatif kerajaan memberi harapan dengan di Johor, projek RTS Link telah mendorong permintaan hartanah di negeri itu, dan begitu juga dengan projek LRT Mutiara di Pulau Pinang yang dijangka siap menjelang 2030 akan meningkatkan daya tarikan hartanah di kawasan sekitar.
Beliau berkata, walaupun pasaran tidak menentu, terdapat keyakinan yang berhati-hati bahawa projek infrastruktur strategik, seperti LRT Pulau Pinang, akan menyumbang kepada pertumbuhan pasaran secara positif.