Pemaju biasanya memberi jaminan dua tahun kepada hartanah terjual dan sedia diduduki jika terdapat kerosakan atau kemasan.
Dalam erti kata lain sebarang kerosakan berlaku dalam tempoh DLP, pemaju akan menanggung kos membaik pulih hartanah terbabit.
Pemeriksaan kerosakan boleh dilakukan pemilik sendiri atau mengupah syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu dalam memastikan hartanah dibeli tidak mengalami sebarang kerosakan dan hak pembeli juga terjaga.
Menurut pembeli rumah pertama Eziqa Borhan, dia dan suami meletakkan keutamaan dalam pemeriksaan 'kecacatan' ketitka masuk ke kediaman baru dibeli di LBS Bina Group Cybersouth, Cyberjaya, Sepang, Selangor.
"Pembeli rumah pertama kali termasuklah saya sendiri tidak boleh mengelak untuk rasa teruja.
"Dalam sibuk membuat perancangan berpindah atau menghias rumah, pemilik perlu melakukan pemeriksaan kecacatan hartanah itu.
"Saya dan suami lebih teliti ketika proses ini dan boleh dikatakan tempoh diambil lebih panjang kira-kira sebulan dalam memastikan rumah diterima dalam keadaan baik," katanya.
Menjelaskan kediaman dibeli sejak 2018 itu, Eziqa yang juga pengurus operasi di sebuah firma dana perintis berkata, pembelian rumah pertama bukan sesuatu yang mudah kerana perlu memikirkan pelbagai aspek termasuk komitmen kewangan jangka masa panjang selain perancangan individu itu sendiri.
"Pada saya untuk capai hidup stabil terutama mereka yang sudah mendirikan rumah tangga, perlu merancang untuk memiliki rumah sendiri.
"Semak kemampuan diri dan lakukan carian rumah sesuai dengan keperluan dan tahap kewangan.
"Ketika saya membuat carian, saya tidak lupa untuk semak kredibiliti ejen jualan dan pemaju hartanah yang ingin dibeli.
"Contoh untuk rumah pertama saya dan pasangan di Cyberjaya, reputasi LBS Bina Group sebagai pemaju projek ini banyak kelebihannya.
"Kebimbangan itu berkurang kerana jejak rekod mereka cukup baik berdasarkan projek yang pernah mereka bina sebelum ini," katanya.
Tambah Eziqa membeli kediaman dari pemaju yang memiliki kredibiliti juga memberi jaminan hak pembeli terjaga.
"Dalam proses pemeriksaan kecacatan rumah, peranan pemaju itu sendiri sangat penting.
"Andai kata pemaju adalah bermasalah kemungkinan jika ingin membuat tuntutan membaiki kerosakan atau kemasan rumah yang terjejas juga sukar.
"Bagi saya elemen pemaju juga sangat penting dan pembeli pertama atau bakal pembeli kena buat semakan selain melihat testimoni pembeli projek terdahulu bagi memastikan hartanah mereka beli itu tidak akan membebankan mereka kemudian hari," katanya.
Kata Eziqa, dia juga menerima banyak faedah menerusi penawaran oleh pemaju hartanah dibeli itu.
"Banyak faktor juga yang menyumbang pembelian hartanah ini sebagai rumah pertama termasuklah lokasi yang strategik dan tidak terlalu padat. Akses kepada lebuh raya juga mudah selain dikelilingi prasarana yang matang.
"Selain itu pemaju juga bijak mewujudkan ruang yang membuatkan kawasan kejiranan itu menjadi lebih menyeronokkan.
"Menerusi kemudahan bersukan untuk penduduk lengkap dengan gelanggang bola jaring, bola tampar selain taman permainan kanak-kanak yang selamat dengan reka bentuk yang menarik dan praktikal," katanya.
Ketika membeli rumah pertamanya itu, dia juga menerima beberapa faedah lain seperti tiada deposit, pengecualian duti setem, rebat tunai dan hadiah berupa barangan elektrik menerusi Program Kesetiaan Pelanggan Perks & Plusses LBS.