LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Permintaan tinggi pemaju dijangka lonjak harga tanah



KUALA LUMPUR: Harga tanah dijangka terus meningkat berikutan permintaan tinggi dalam kalangan pemaju untuk menambah simpanan tanah, terutama syarikat yang giat berbuat demikian seperti Scientex Bhd dan Lagenda Properties Bhd.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Loong Kok Wen, berkata walaupun masih banyak pemaju sibuk meneroka tanah baharu, terdapat juga syarikat yang merancakkan lagi persaingan berikutan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) termasuk firma pembuatan dan peserta pusat data, selain pelan pengembangan operasi yang diusahakan oleh beberapa syarikat elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya di Iskandar Malaysia.

Beliau berkata, AME Elite Consortium, Mah Sing, dan Eco World Development Group (EcoWorld) adalah pemaju besar yang sedang mencari tanah bagi pembangunan industri dan kediaman.

"Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan jumlah syarikat yang mendapat rangsangan daripada aliran masuk FDI seperti firma pembuatan dan pusat data, selain rancangan pengembangan oleh beberapa syarikat elektrik dan elektronik (E&E) turut meningkatkan persaingan untuk tanah.

"Awal bulan ini, Crescendo menjual sebidang tanah di Pulai, Johor kepada Microsoft Payments (Malaysia). Secara keseluruhan, syarikat itu telah menjual empat bidang tanah berkeluasan 3.72 juta kaki persegi di Johor kepada operator pusat data dalam tempoh kurang setahun, dengan tanah berkenaan dinilai antara RM120 hingga RM125 sekaki persegi," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kok Wen berkata, sektor hartanah dijangka terus mendapat rangsangan pertumbuhan susulan laporan positif mengenai projek prasarana yang bakal dilaksanakan, urus niaga tanah yang giat berjalan, kemasukan pelaburan, khusus dalam sektor pusat data, tenaga hijau serta pembuatan.

Katanya, pemaju hartanah yang memiliki simpanan tanah yang luas, selain terdedah kepada segmen perindustrian, seharusnya memiliki kelebihan lebih besar menerusi projek pembangunan prasarana dan kemasukan pelaburan yang semakin meningkat.

"Usaha rangsangan ekonomi yang berlaku di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang dijangka dapat meningkatkan nilai sektor ini secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kemungkinan besar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) dihidupkan semula.

Katanya, baru-baru ini terdapat laporan menyatakan bahawa tiga konsortium mungkin akan disenarai pendek untuk membangunkan projek HSR KL-Singapura.

"Walaupun pelan pembiayaan dan kos pembinaan sering mendapat lebih penelitian, perkembangan berita baru-baru ini kelihatan seolah-olah membuatkan aspek ini tidak akan menjadi batu penghalang kepada pelaksanaan projek.

"Semua pihak kini lebih tertumpu kepada projek HSR, Transit Aliran Ringan (LRT) Johor Bahru dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dengan pemilik tanah utama berpotensi menerima manfaat daripada pelaksanaan projek berkenaan," katanya.

Sementara itu, Kok Wen berkata, Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu menerima inisiatif rangsangan ekonomi.

"Baru-baru ini, kerajaan akhirnya meluluskan cadangan projek LRT Pulau Pinang yang ditunggu-tunggu selama ini. Selain melihat dari sudut keperluan prasarana yang didorong oleh ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, banyak syarikat E&E tempatan mahupun serantau mengambil peluang untuk memperluas operasi mereka di Pulau Pinang.

"Perkara ini juga dapat membantu merancakkan lagi permintaan hartanah di negeri itu pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Posted on: 17th April 2024

Source: Berita Harian