LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Garis panduan sewa rumah



Dilaporkan purata kadar sewa rumah di negara ini mencecah RM1,975 sebulan iaitu peningkatan 5.5 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Namun begitu permintaan rumah sewa tetap tinggi kerana masih ada yang tidak berkemampuan membeli kediaman sendiri.

Bagaimanapun dalam keadaan terdesak mahu mendapatkan rumah sewa, ada kalanya terdapat perkara yang penyewa terlepas pandang hingga timbul isu mengelirukan berkaitan kerosakan pada rumah sewa.

Lima panduan berikut dikongsi bagi membantu mengelakkan kekeliruan di antara penyewa dan tuan rumah:

1. Semak perjanjian sewa rumah
Perjanjian sewa rumah adalah kontrak yang sah dari segi undang-undang di antara penyewa dan tuan rumah.Ia merangkumi semua perkara penting termasuklah tanggungjawab tuan rumah dan penyewa dalam kerja-kerja membaiki kerosakan.
Penyewa perlu dijelaskan tanggungjawab ke atas rumah sewa seperti ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.
Ini perkara mustahak supaya penyewa dan tuan rumah mengetahui tanggungjawab masing-masing.

2. Tanggungjawab tuan rumah
Bertanggungjawab membaiki kerosakan di rumah kerana faktor usia kediaman dan sebarang kerosakan yang boleh membahayakan keselamatan penyewa.
Sebaliknya jika kerosakan berlaku selepas penyewa menghuni rumah itu yang tidak membahayakan keselamatan mereka adalah seperti berikut:
2.1 Minta penyewa membaiki kerosakan itu dan kemudian menuntut semula wang daripada tuan rumah.
2.2 Tuan rumah membaiki kerosakan itu.
2.3 Tunggu hingga tamat tempoh sewaan (jika tidak serius).

3. Tanggungjawab penyewa
Jenis kerosakan dinyatakan dalam perjanjian sewa rumah. 
Penyewa dikehendaki membaiki kerosakan berpunca daripada kelalaian sendiri.
Ia termasuklah mentol lampu, kerosakan disebabkan haiwan peliharaan, kerusi atau meja patah dan perkakas dapur rosak
Penyewa perlu menyimpan rekod rakaman bergambar atau video bagi keadaan dalaman atau barangan terdapat dalam rumah sewaan.

4. Tuntutan undang-undang
Penyewa rumah diminta menanggung kos membaik pulih kerosakan seperti dinyatakan dalam perjanjian sewa rumah.
Jika penyewa gagal mematuhi perjanjian itu, maka tuan rumah boleh menggunakan deposit sekuriti bagi tujuan menampung kos membaik pulih kerosakan.
Sekiranya kos itu melebihi deposit rumah, maka tuan rumah boleh memfailkan tuntutan melalui mahkamah.

5. Komunikasi
Komunikasi yang baik antara penyewa dan tuan rumah boleh membantu menyelesaikan sebarang isu yang timbul di antara kedua-dua pihak.
Mereka juga boleh berunding dengan peguam untuk menilai perjanjian itu sebelum menandatanganinya.

Posted on: 3rd April 2024

Source: Harian Metro