LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Rumah berdekatan RTS Link paling banyak dicari di Johor



KUALA LUMPUR: Hartanah yang berdekatan dengan Rapid Transit System Link (RTS Link) muncul rumah yang paling banyak dicari di Johor, sekali gus melonjakkan semula pasaran perumahan di negeri itu yang berhadapan dengan masalah rumah siap dibina tidak terjual sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai contoh, R&F Princess Cove dan Twin Tower Residence yang masing-masing terletak hanya 2.1 kilometer dan 900 meter dari stesen RTS Bukit Chagar.

Ini memberikan kelebihan kepada penduduk Malaysia yang bekerja di Singapura serta mengatasi harga sewa yang tinggi di negara itu.

Selain itu, langkah Singapura meredakan pasaran hartanahnya, termasuk menaikkan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD), boleh mendorong pelabur dari negara itu untuk mempertimbangkan hartanah di Johor.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez, berkata, Johor sedang mengalami satu transformasi yang ketara, daripada negeri yang mempunyai jumlah kediaman siap dibina tidak terjual tertinggi kepada kedudukan yang lebih baik.

Katanya, penambahbaikan ini disebabkan oleh pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh pihak negeri, termasuk pembangunan RTS Link, penetapan Forest City sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ), dan potensi pemulihan kereta api berkelajuan tinggi (HSR).

"Usaha-usaha ini telah meningkatkan permintaan dan nilai hartanah di Johor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

RTS Link, yang dijangka siap menjelang akhir 2026, terbukti menjadi pemangkin ekonomi negeri yang meningkatkan ketersambungan antara Johor-Singapura dan mencergaskan kembali pasaran hartanah tempatan, terutamanya di Johor Bahru.

Berikutan pengumuman fasa endemik pada April 2022, iProperty Malaysia menyaksikan lonjakan sebanyak 29 peratus bagi indeks permintaan hartanah Johor Bahru.

Begitu juga, semasa projek RTS mencapai tahap selesai 50 peratus pada April 2023, indeks permintaan hartanah Johor Bahru meningkat sebanyak 17 peratus.

Sheldon berkata, landskap hartanah Johor telah mengalami tempoh pertumbuhan pada tahun lalu, menghasilkan lonjakan permintaan untuk hartanah di negeri itu, terutamanya di Johor Bahru.

Beliau berkata, perubahan ketara ini didorong oleh beberapa faktor utama yang telah meningkatkan daya tarikan keseluruhan negeri itu.

"Berdasarkan data yang kami perolehi, prospek Johor kelihatan memberangsangkan. Dengan pembangunan projek-projek besar, seperti RTS Link dan inisiatif lain yang menempatkan Johor sebagai hab aktiviti ekonomi yang sedang pesat membangun, kami percaya pelabur hartanah boleh memantau dengan rapat atau menyelidik lebih mendalam peluang yang ditawarkan di negeri itu.

"Pembangunan yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi berpotensi membawa kepada prospek pelaburan menarik ke sektor hartanah," kata Sheldon.

Selain mempertimbangkan kediaman yang berhampiran dengan RTS Link, bakal pembeli juga kebanyakannya mencari hartanah pegangan bebas, menunjukkan keutamaan pada jenis tempoh yang membolehkan pemilik mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap hartanah mereka.

Walaupun tempoh pegangan bebas adalah faktor utama bagi kebanyakkan pembeli, pertimbangan lain seperti lokasi, kemudahan, infrastruktur, dan rancangan masa depan turut mempengaruhi keputusan pembelian pencari hartanah.

Posted on: 27th March 2024

Source: Berita Harian