"Tidak perlu tergesa-gesa memiliki kediaman pertama. Paling penting akhirnya dapat juga kediaman selesa, sesuai untuk dihuni dan kena dengan 'poket' sendiri," jelas wanita berusia 37 tahun ini.
Selama 12 tahun Nurizah Jasmon dan suaminya, Muhammad Hezry Md Yasin, 37, menyewa. Pada tempoh itu, pasangan berkenaan sedikit pun tidak rasa perlu tergesa-gesa untuk membeli kediaman pertama kerana mereka begitu cerewet untuk memiliki aset berkenaan.
Akhirnya pada 2021, pasangan itu mula terbuka hati untuk membeli kediaman pertama dan menariknya selepas pihak bank meluluskan pembiayaan baharulah mereka mengumpul wang untuk keperluan kediaman itu.
Kata Nurizah, setahun sebelum membeli kediaman itu mereka meninjau beberapa produk hartanah di sekitar Selangor, akhirnya terpikat kepada satu produk kediaman yang hanya berdekatan dengan rumah yang disewa.
"Kami sebenarnya agak cerewet untuk membeli kediaman kerana perlu menilai banyak perkara antaranya lokasi, persekitaran yang baik dan reka bentuk kediaman praktikal.
"Setahun sebelum membeli kediaman bersaiz 990 kaki persegi ini, kami ada meninjau sekitar sepuluh produk hartanah, namun merasakan ia tidak kena dengan cita rasa kami terutama dari segi persekitaran dan reka bentuk kediaman yang dilihat secara peribadi tidak praktikal," katanya.
Jelasnya, meskipun suaminya mengambil masa hampir dua jam ke tempat kerja di Cyberjaya dari kediaman pertama mereka, ia bukan satu masalah untuk membeli kediaman berkenaan.
"Suami saya menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja dan sebenarnya bagi mereka yang tidak biasa mungkin terasa jauh tetapi disebabkan kami sudah biasa tinggal di kawasan ini sebelum membeli kediaman pertama berkenaan lagi, ia bukan satu penghalang.
"Bagi suami, tidak menjadi masalah mengambil masa lama ke tempat kerja kerana paling penting selesa dan kediaman adalah lokasi untuk berehat," katanya.
Bercerita mengenai reka bentuk kediaman katanya dia dan suami menitik beratkan setiap ruang yang mempunyai nilai praktikal.
"Kebanyakan kediaman jenis bertingkat, susun atur bilik berada di dalam lorong dan bagi pendapat kami, lorong itu menjadikan ruang berkenaan tidak praktikal kerana hanya menjadi 'ruang' laluan sahaja. Jadi, kami mencari kediaman yang tidak mempunyai rekaan jenis itu," katanya.
Tambahnya, unit kediaman jenis bertingkat dalam segmen pangsapuri servis yang dibeli itu juga terletak di hujung yang menawarkan pemandangan lebih luas berbanding unit yang berada di tengah.
"Meskipun kami membeli kediaman jenis bertingkat tetapi unit yang mempunyai pemandangan luas adalah penting untuk cita rasa peribadi.
"Sebenarnya unit ini tidak banyak dan terdapat pelbagai cabaran untuk memiliki kediaman ini ketika proses pembeliannya," katanya.
Katanya, ketika proses pembelian berlangsung, suaminya baharu bertukar kerja dan memerlukan tempoh untuk pengesahan jawatan.
"Ketika itu, pembayaran tempahan kediaman sudah dibuat kepada ejen jualan dan memandangkan suami baharu sahaja bertukar kerja jadi hampir sembilan bulan proses diambil mendapatkan kelulusan daripada pihak bank.
"Sehinggakan ejen memulangkan semula wang tempahan berkenaan dan memang rezeki sebaik sahaja pengesahan jawatan suami, hanya tinggal seunit sahaja kediaman itu. Akhirnya ia memang menjadi milik kami," katanya.
Katanya, selepas berjaya mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank, dia dan suami baharu mengumpul wang untuk persediaan masuk ke rumah baharu.
"Ketika itu hanya ada masa dua tahun sahaja dan kami memang berjimat cermat supaya mempunyai aliran wang yang baik sebaik sahaja memiliki kediaman ini.
"Syukur dalam tempoh dua tahun itu mencukupi untuk kami mengumpul wang bagi menduduki kediaman ini pada September tahun lalu," katanya.