Bank penyelidikan itu berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal tidak berubah dan keadaan ini sewajarnya turut menyokong permintaan terhadap hartanah.
Menurut MIDF Research, kelonggaran syarat bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dilihat positif memandangkan langkah ini akan mendorong permohonan dan permintaan terhadap hartanah.
Kajian semula terkini terhadap MM2H antara lain adalah syarat umur minimum yang diturunkan kepada 30 tahun berbanding 35 tahun sekali gus meluaskan akses, dan prasyarat kewangan yang dilonggarkan.
"Negeri yang menjadi pilihan warga asing seperti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sewajarnya meningkatkan permintaan," kata MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini.
Pertumbuhan positif dalam permohonan pinjaman dengan data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat sebanyak tujuh bulan berturut-turut pada November 2023.
Peningkatan pada 13.9 peratus tahun ke tahun kepada RM48.5 bilion yang berterusan dalam pertumbuhan permohonan pinjaman menunjukkan bahawa faedah belian ke atas hartanah kekal sihat.
MIDF Research berkata, secara kumulatif, permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pada November 2023 lebih tinggi pada RM560.6 bilion (5.2 peratus tahun ke tahun), menunjukkan kestabilan pemulihan dalam permintaan hartanah.
"Melangkah ke hadapan, kami melihat permintaan untuk hartanah kekal kukuh tahun 2024 kerana minat belian akan disokong dengan prospek yang bertambah baik bagi sektor hartanah.
"Pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah adalah lebih tinggi pada RM20.6 bilion, kenaikan 13.5 peratus tahun ke tahun pada November 2023," katanya.
Sementara itu, Indeks Hartanah Kuala Lumpur (KL) mengakhiri 2023 pada tahap positif, menujukkan kenaikan sebanyak 34.5 peratus.
"Prestasi baik Indeks Hartanah KL adalah didorong oleh peningkatan kediaman tidak terjual di Malaysia yang jatuh untuk suku ketujuh berturut-turut pada suku ketiga 2023.
"Sentimen positif terhadap projek infrastruktur yang akan datang seperti Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura yang telah berhenti seketika ketika kenaikan OPR pada Julai 2023 akan terus menyokong pemulihan permintaan terhadap hartanah.
"Lima prestasi terbaik Indeks Hartanah KL dalam 2023 ialah Ewein Bhd (250 peratus), UEM Sunrise Bhd (225 peratus), Iskandar Waterfront City Bhd (170 peratus), Avaland Bhd (104 peratus) dan Crescendo Corporation Bhd (103 peratus)," katanya.