iProperty.com.my mendedahkan 10 kawasan yang paling banyak dicari dalam kalangan pencari hartanah di Malaysia.
Senarai itu mencatatkan bilangan carian tertinggi oleh pelawat yang melayari hartanah untuk dijual di iProperty.com.my antara Januari dan November lalu.
Berbanding 2022, apabila bakal pembeli rumah mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang disebabkan fleksibiliti kerja, data carian 2023 menunjukkan peralihan keutamaan kembali ke kawasan bandar.
Perubahan ini boleh dikaitkan dengan dasar kembali ke pejabat yang dilaksanakan lebih ramai majikan.
Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, data carian 2023 mendapati terdapat perubahan ketara dalam pilihan pembeli rumah.
Memandangkan lebih ramai majikan melaksanakan aturan kembali ke pejabat, terdapat peningkatan semula dalam tarikan kehidupan bandar.
Hartanah bandar menawarkan beberapa kelebihan kepada mereka yang bekerja di pejabat seperti ketersambungan yang sangat baik dan akses mudah ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, memberikan masa perjalanan yang lebih singkat.
"Kawasan bandar juga sering menjadi pusat aktiviti, menawarkan pelbagai kemudahan seperti pusat membeli-belah, restoran dan kemudahan rekreasi. Disebabkan itu, kawasan berkenaan dapat menarik perhatian mereka yang mencari gaya hidup dinamik di luar waktu kerja.
"Gabungan faktor-faktor ini menjadikan kehidupan bandar sangat sesuai untuk golongan profesional yang bekerja di pejabat. Trend ini menekankan daya tahan dan kebolehsuaian pasaran hartanah," katanya.
Berikut adalah kawasan yang paling banyak dicari pada tahun 2023, disenaraikan dalam susunan menurun.
10. Cyberjaya
Cyberjaya kembali ke senarai kawasan yang paling banyak dicari pada tahun 2023 selepas kali terakhir muncul pada tahun 2021.
Dikenali sebagai Lembah Silikon Malaysia, Cyberjaya adalah pangkalan bagi banyak syarikat teknologi multinasional dengan status Koridor Raya Multimedia (MSC).
Selain kemajuan teknologi yang pesat, Cyberjaya dikelilingi taman awam dan ruang rekreasi termasuk Taman Tasik Cyberjaya.
Ia juga adalah hab pendidikan dengan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Multimedia, Universiti Limkokwing dan Universiti Cyberjaya.
Aspek mesra pelajar, digabungkan dengan ramai ekspatriat yang bekerja di kawasan itu, menyumbang kepada pasaran sewa yang berkembang maju dan bilangan carian pada tahun lalu.
9. Bangsar
Kawasan kejiranan mewah ini terletak di lokasi strategik berhampiran Petaling Jaya, Pusat Bandar Kuala Lumpur, Mont Kiara, Sri Hartamas dan Damansara Heights.
Bangsar terkenal dengan pembangunan bertanah dan tidak bertanah atau bertingkat mewah yang menyediakan pelbagai pilihan untuk pembeli yang berminat.
Terdapat beberapa pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan itu dan pemaju sedang giat mencari bank tanah untuk memenuhi permintaan tinggi dan terus menyediakan pembangunan mewah.
8. Subang Jaya
Kawasan pinggir bandar itu menawarkan pilihan hartanah yang pelbagai seperti Teja oleh Sime Darby Property Bhd dan mempunyai pelbagai institusi pendidikan seperti INTI International University and Colleges, Monash University Malaysia dan Taylor's University Lakeside Campus.
Terletak dalam komuniti yang meriah ini, Subang Jaya menawarkan ketersambungan lebuh raya yang luar biasa, meletakkannya berdekatan dengan daerah-daerah utama Lembah Klang, Damansara Utama, Bandar Utama, Kota Damansara dan Mutiara Damansara.
7. Kuala Lumpur City Centre (KLCC)
Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) kembali ke senarai pada kedudukan yang sama seperti tahun 2021.
Kawasan ini terkenal sebagai daerah pusat Kuala Lumpur yang menjadi rumah kepada ekspatriat dan penduduk tempatan dengan mercu tanda ikonik seperti Menara Berkembar Petronas.
Ia kekal sebagai hab kemudahan KLCC yang dihubungkan ke Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX) dan kawasan Cochrane/Maluri melalui Laluan MRT 1. Kekurangan tanah di sekitar stesen KLCC meningkatkan pertumbuhan nilainya dan kebangkitan semula pelbagai sektor perniagaan membuka jalan untuk pembangunan rumah mewah yang lebih banyak di dalam bandar.
6. Bukit Jalil
Sebagai kawasan baru dalam senarai, Bukit Jalil mendapat perhatian sebagai kawasan pinggir bandar mewah yang menempatkan banyak kemudahan sukan dan teknologi seperti Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan Taman Teknologi Malaysia.
Bukit Jalil juga berkembang pesat dengan pembangunan tempatan seperti Bandar Bukit Jalil dan Pavilion Bukit Jalil.
5. Puchong
Mengekalkan kedudukan tempat kelima dari tahun 2022, Puchong menonjol sebagai kawasan matang dan terkenal dengan banyak pusat membeli-belah serta rekreasi.
Dari segi rangkaian jalan raya, Puchong menikmati jaringan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam dan Laluan Putrajaya.
4. Cheras
Terletak di kawasan matang yang menampilkan restoran lama dan pusat membeli-belah baru, Cheras mempunyai gabungan sempurna antara pesona lama dan tarikan moden.
Cheras mendapat manfaat daripada jaraknya yang berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan dilengkapi laluan LRT Sri Petaling dan Lebuhraya Cheras-Kajang.
Kemudahan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan lebuh raya baru seperti Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) meningkatkan permintaan untuk hartanah di Cheras.
3. Johor Bahru
Johor Bahru menduduki tempat ketiga, satu kedudukan lebih tinggi daripada tahun 2022.
Jumlah transaksi hartanah di Johor Bahru semakin meningkat kerana pencari hartanah memburu tawaran sebelum pembukaan sistem transit pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap pada akhir tahun 2026.
Selain itu, langkah untuk melonggarkan syarat program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), ditambah dengan kenaikan kos sewa di Singapura, boleh meningkatkan lagi jualan hartanah di Johor.
2. Mont Kiara
Terkenal dengan popularitinya dalam kalangan ekspatriat dan penduduk tempatan yang berada, Mont Kiara mempamerkan kemudahan sedia ada dan sekolah antarabangsa berprestij seperti Mont'Kiara International School, Garden International School dan Sekolah Perancis Kuala Lumpur (French School of Kuala Lumpur)
Kedudukannya yang strategik di antara Damansara Heights, Bangsar dan Pusat Bandar Kuala Lumpur, ditambah dengan akses mudah melalui lebuh raya utama menjadikannya pilihan yang digemari dalam kalangan ekspatriat dan penduduk tempatan berada yang mengutamakan akses cepat ke bandar utama.
1. Petaling Jaya
Bandar ini sebelumnya adalah pemenang pada tahun 2021. Jaringan lebuh raya dan pengangkutan awam Petaling Jaya bersama dengan pelbagai kemudahan, menjadikannya destinasi tempat tinggal yang ideal bagi penduduk bandar.
Ia terletak di persimpangan Kuala Lumpur, Sungai Buloh, Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.
Menempatkan pusat membeli-belah popular seperti 1 Utama Shopping Centre, IKEA Damansara, The Curve dan IPC Shopping Centre.