SEJAK zaman belajar lagi lelaki yang kini berusia 34 tahun kelahiran Kluang, Johor ini sudah menabung bagi memastikan kewangannya dalam keadaan baik terutama untuk kecemasan.
Ternyata sifat cermatnya di dalam berbelanja membuahkan hasil apabila membeli rumah pertama tanpa perlu membuat pembiayaan tambahan untuk kerja-kerja pengubahsuaian.
Bagi Ariffin Mutalib, 34, pengurusan kewangan adalah faktor paling utama sebelum membeli kediaman kerana ia boleh memberi kesan aliran kewangan pada masa panjang.
Jelasnya, dia membeli rumah pertama pada 2019 yang ketika itu usianya baharu 30 tahun.
"Saya sejak zaman universiti sentiasa meletakkan simpanan kewangan sebagai perkara yang perlu didahulukan apabila menerima gaji atau wang poket supaya apabila ingin berbelanja sesuatu yang penting, ia boleh membantu.
"Jadi ketika saya membeli rumah pertama, saya adalah kakitangan kerajaan dan menggunakan pembiayaan sepenuhnya daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Jadi hanya memerlukan kos pengubahsuaian sahaja yang dikeluarkan daripada simpanan peribadi," katanya.
Pada 2019, Ariffin membeli satu unit kediaman jenis apartmen pada RM220,000 yang mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua biik air.
Katanya, sebelum dia membuat keputusan membeli kediaman itu, sudah pasti tinjauan adalah perkara yang perkara paling penting supaya apa yang dibeli berbaloi.
Jelasnya, dia menerima pelbagai iklan penjualan kediaman menerusi emel dan dari situ dia membuat pelbagai perbandingan dari segi harga, lokasi dan beberapa elemen yang mampu memberi nilai tambah sebagai pembeli.
"Memandangkan saya bekerja di Putrajaya jadi saya memang menyasarkan kawasan itu atau berhampiran dengannya. Jadi, saya membuat beberapa perbandingan dari segi harga, lokasi, kemudahan dan juga paling penting pastinya harga yang mengikut kemampuan poket sendiri.
"Saya tertarik dengan kediaman ini kerana ia terletak di Putrajaya, rekaan dalaman yang menarik termasuk keluasan kediaman yang memuaskan dan ketiga ialah harga mampu milik. Jadi apabila saya mengunjungi rumah contoh kediaman ini, saya merasa begitu tertarik dan terus membuat tempahan," katanya.
Katanya, sebagai pembeli rumah pertama dia merasakan tidak perlu membeli kediaman yang terlalu mahal kerana secara rasional dia baharu sahaja bekerja dan masih bujang.
"Jadi saya melihat kediaman itu sesuai dengan keperluan peribadi saya dan apabila sudah mempunyai kewangan lebih baik pada masa depan, saya akan menjadikan kediaman ini sebagai satu instrumen pelaburan. saya "Sememangnya saya juga mempunyai hasrat memiliki rumah teres kerana ia lebih selesa. Namun, pada masa ini saya tidak rasa ia sesuai dengan bajet dan keperluan peribadi," katanya.
Ketika ditanya mengenai kepuasan membeli rumah, katanya, ketika mula bekerja dia melihat harga sewaan sesuatu kediaman hampir sama dengan pembayaran pembiayaan bulanan.
"Justeru saya melihat lebih baik membeli dan ansuran bulan itu adalah untuk rumah sendiri berbanding membayar untuk aset orang lain.
"Misalnya, sewa seunit kediaman mungkin dalam lingkungan RM1,000 sebulan dan ansuran bulanan untuk pembiayaan juga adalah sama. Jadi lebih berbaloi.
"Selain itu, saya juga bersyukur kerana mendapat manfaat pembiayaan daripada LPSSA yang mempunyai kadar faedah pembiayaan tetap. Jadi tidak perlu khuatir dengan peningkatan kadar faedah sukar dijangka pada masa depan," katanya.
Katanya, bagi pembeli rumah pertama pastinya perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan simpanan kewangan yang mencukupi supaya mampu selesa dan tidak terbeban selepas membeli aset berkenaan.
"Saya amat peka kepada perkara itu. Jadi sebelum membeli saya sudah membuat perkiraan pendapatan dan komitmen bulanan yang perlu dilunaskan. Apabila membuat perkiraan itu, baru dapat mengetahui sama ada kita akan merasa selesa atau sebaliknya selepas membeli rumah.
"Selain itu, saya juga amat mementingkan situasi selepas membeli rumah di mana saya masih mampu membuat simpanan peribadi kerana perkara itu antara yang sentiasa menjadi keutamaan sejak zaman universiti lagi," katanya.